Isteri kepada pelawak Shuib iaitu Watie Hanifiah tampil menjelaskan mengenai kritikan terhadap anak tirinya, Thalita berkenaan gaun yang dipakai mendedahkan bahu dalam satu majlis baru-baru ini.
Menerusi siaran langsung di TikTok, Watie berkata a Thalita pernah menyimpan hasrat untuk bertudung sebelum ini.
BACA: Pakai Gaun Dedah Bahu, Penampilan Thalita Dikritik Tak Sesuai
Namun, perubahan minat Thalita berlaku secara semula jadi selari dengan persekitaran serta usia yang semakin meningkat dimana dia di fasa mahu mencuba baju atau fesyen berbeza.
“Dulu Thalita pernah cakap nak pakai tudung, tapi bila besar sikit, ada keinginan lain dan persekitaran pun bertukar.
“Dia ada keinginan lain pula, nak cuba pakai baju-baju lain. Bila saya tak bagi, daddy tegur. Sebab saya dulu pun seksi juga,” katanya.
Sementara itu, Watie mengakui berlaku kesilapan dalam pemilihan baju yang ditempah dan tempoh terlalu singkat menyebabkan ianya tidak sempat diubah.
Malah, Watie berkata ahli keluarga yang lain dan Shuib turut menegur serta berharap Thalita tidak lagi memakai pakaian sedemikian.
“Kes haritu, baju itu tidaklah diminta seperti itu sebenarnya. Tapi baju itu terpotong ke bawah sedikit. Pada hari itu pun ramai saja yang tegur termasuk ahli keluarga.
“Daddy tegur, dia harap Thalita tak pakai baju sebegitu dah. Sebab baju-baju Thalita saya yang uruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Watie berharap kejadian itu menjadi pengajaran buat Thalita untuk lebih peka dalam soal pemakaian selepas dikritik netizen.
“Saya izinkan dia pakai. Bila dia dah pakai, dia sendiri nampak apa yang orang kecam. Biarlah dia nampak semua itu, jadi lepas ini Thalita boleh fikir dan buat keputusan sendiri dari segi pemakaian.
“Bila kita halang, budak sebesar Thalita ini akan memberontak. Kalau kecaman itulah yang membuatkan Thalita tak mahu pakai seksi dah, kenapa tidak? Kalau sebab itu boleh menjadikan kita lebih baik, salah ke?” katanya.






