‘Bila jadi macam ni, senang saja orang nak salahkan FAM’

‘Bila jadi macam ni, senang saja orang nak salahkan FAM’


PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan isu hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu dijadikan pengajaran besar kepada kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) — bukan sahaja kepada pengurusan ketika ini, tetapi juga kepada mereka yang akan memimpin pada masa hadapan.

Menurutnya, FAM seharusnya menguruskan sendiri pasukan kebangsaan dan tidak menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak luar seperti pengurusan skuad kebangsaan (Malaysia NT).

Beliau berkata, apabila timbul isu seperti sekarang, FAM akhirnya menjadi pihak yang dipersalahkan.

“Pengajaran kepada pengurusan FAM sekarang, dan juga pengajaran besar kepada pengurusan FAM yang akan datang. FAM perlu menguruskan pasukan kebangsaan sendiri, bukan diserahkan kepada pihak lain. Sekarang ini, macam FAM seperti ‘office boy’, jadi macam budak suruhan.

“Akhirnya bila jadi isu macam ini, senang saja orang nak tunding jari kepada FAM,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, FAM dan Malaysia NT mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan terkini mengenai hukuman FIFA serta proses rayuan yang sedang dijalankan.

Namun, sidang akhbar itu dilihat gagal menjawab beberapa persoalan utama, sekali gus mengundang kritikan daripada para penyokong.

Dalam pada itu, Pekan turut mengingatkan agar tindakan menggantung serta-merta Setiausaha Agung FAM tidak dijadikan alasan untuk menutup kelemahan sebenar dalam pengurusan isu berkenaan.

“Jangan ingat bila gantung Setiausaha Agung serta-merta itu bermakna semua persoalan telah dijawab. Jangan letakkan kesalahan sepenuhnya pada seorang individu dan kata dia palsukan dokumen. Ini tidak adil.

“Mereka menyatakan bahawa FAM yang melakukan pemilihan pemain dan sebagainya. Jangan menipu kita. Jangan memperbodohkan penyokong bola sepak tempatan,” ujarnya.

Difahamkan, pengurusan skuad kebangsaan (Malaysia NT) merupakan pihak yang bertanggungjawab secara langsung menguruskan pasukan Harimau Malaya, manakala FAM bertindak sebagai perantara.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain berkenaan ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain dikenakan denda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen oleh kakitangannya dan menegaskan perkara itu dipandang serius.

FAM telah mengemukakan rayuan kepada FIFA dan keputusan dijangka diketahui pada 30 Oktober ini.

Ringkasan AI

  • Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan isu hukuman oleh FIFA perlu jadi pengajaran kepada FAM
  • FAM harus mengurus pasukan kebangsaan sendiri tanpa menyerahkan tanggungjawab kepada pihak luar
  • Pekan menekankan bahwa menggantung Setiausaha Agung FAM bukan penyelesaian sebenar masalah
  • FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh FIFA kerana pelanggaran pemalsuan dokumen
  • FAM dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta dan pemain dikenakan denda serta digantung daripada aktiviti bola sepak



Source link

OR

Scroll to Top