Bila Real Madrid jumpa irama, Barcelona hilang rentak

Bila Real Madrid jumpa irama, Barcelona hilang rentak


JUDE Bellingham sekali lagi membuktikan dirinya pemain untuk perlawanan besar apabila menjadi watak utama kemenangan 2-1 Real Madrid ke atas seteru tradisi, Barcelona, dalam pertembungan El Clasico La Liga Sepanyol di Estadio Santiago Bernabeu yang disaksikan 78,107 penyokong.

Pemain tengah England itu menjadi pendorong utama kebangkitan Los Blancos, membuka ruang hantaran sempurna untuk Kylian Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-22 sebelum menyempurnakan sendiri gol kemenangan pasukannya pada minit ke-43.

Gol tersebut bukan sekadar memastikan tiga mata berharga, malah menambah koleksi peribadi Bellingham kepada empat jaringan dalam lima penampilan menentang Barca satu rekod yang kini meletakkan Real selesa lima mata di puncak La Liga.

Aksi panas itu bagaimanapun berakhir dalam suasana tegang apabila Pedri dilayangkan kad merah selepas kekasaran terhadap Aurelien Tchouameni, mencetus pertikaman lidah antara pegawai kedua-dua pasukan di tepi padang.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini. Kami lakukan apa yang perlu mengikut perancangan permainan.

“Kami perlu teruskan seperti ini. Ia hanya tiga mata, masih banyak mata lain untuk direbut, dan kami perlu terus meningkatkan prestasi,” kata Tchouameni.

Selepas menanggung empat kekalahan dalam semua pertemuan El Clasico musim lalu, anak buah Xabi Alonso tampil dengan pendekatan berbeza agresif dari wisel pertama dan berani menekan garisan tinggi pertahanan Barcelona.

Real hampir mendapat sepakan penalti seawal minit kedua selepas Vinicius Jr dijatuhkan, namun semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang Brazil itu terlebih dahulu melakukan kekasaran terhadap Lamine Yamal.

VAR turut menjadi penghalang kepada Mbappe yang menyangka dirinya meledak jaringan cantik menerusi voli jarak jauh, sebelum ofsaid tipis menafikan detik gemilang itu.

Namun Bellingham pantas menebusnya. Pemain berusia 22 tahun itu berpusing lepas daripada kawalan Pedri lalu melorongkan bola tepat buat Mbappe yang menolak masuk menewaskan penjaga gol Barcelona, Wojciech Szczesny, bagi membuka tirai jaringan.

Kelekaan barisan pertahanan Madrid kemudian dihukum apabila skuad Hansi Flick menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi gerakan pantas yang disempurnakan Fermin Lopez hasil hantaran lintang Marcus Rashford.

Namun kelebihan tuan rumah dipulihkan semula hanya lima minit kemudian, kali ini dengan sedikit elemen kontroversi.

Pemain Barcelona mendakwa Pau Cubarsi dikasari Dean Huijsen sebelum bola lintang Eder Militao disambar mudah Bellingham di tiang jauh untuk gol kedua Madrid.

Mbappe sekali lagi terperangkap dengan bendera ofsaid selepas menolak masuk gerakan tiga penjuru cantik bersama Vinicius dan Bellingham, sebelum VAR menjadi tumpuan lagi apabila penalti diberikan kepada Madrid selepas bola terkena tangan Eric Garcia.

Bagaimanapun, Szczesny tampil cemerlang menafikan sepakan Mbappe pada minit ke-52 dengan aksi refleks tangan tunggal yang menakjubkan.

Madrid terus menguasai permainan, namun satu lagi jaringan Bellingham yang menyusul selepas menerima hantaran rendah Brahim Diaz turut dibatalkan kerana ofsaid.

Barcelona pula semakin kehilangan arah, gagal mencipta sebarang ancaman berbahaya menjelang penghujung perlawanan, dan keadaan menjadi panas apabila Pedri dilayangkan kad merah pada masa kecederaan simbol kekecewaan Blaugrana yang tumpas di tangan musuh abadi mereka sekali lagi.

Ringkasan AI

  • JUDE Bellingham bintang utama dalam kemenangan 2-1 Real Madrid atas Barcelona dalam El Clasico
  • Bellingham menyediakan assist untuk Kylian Mbappe dan menjaringkan gol kemenangan
  • Real Madrid kini lima mata di puncak La Liga setelah kemenangan ini
  • Perlawanan berakhir tegang dengan kad merah kepada Pedri dari Barcelona
  • Real Madrid mendominasi permainan dengan strategi agresif dan tekanan tinggi terhadap pertahanan Barcelona



Source link

OR

Scroll to Top