Bilionair Xiaomi labur dalam Dolphins

Bilionair Xiaomi labur dalam Dolphins


Miami: Nama besar dunia teknologi, Lin Bin, melakar sejarah tersendiri apabila memperoleh 1 peratus kepentingan dalam Miami Dolphins pada penilaian AS$12.5 bilion (RM58.75 bilion), sekali gus memecahkan rekod transaksi pegangan minoriti dalam industri sukan profesional.

Menurut laporan Sportico, pembelian itu membabitkan pegangan dalam syarikat induk yang memiliki Dolphins, Hard Rock Stadium, perlumbaan Miami Grand Prix serta sebahagian kepentingan dalam kejohanan tenis Terbuka Miami.

Rekod terdahulu bagi transaksi pegangan minoriti adalah AS$10 bilion (RM47 bilion), dicatat pada Oktober apabila keluarga Koch membeli 10 peratus kepentingan dalam New York Giants.

Jawatankuasa kewangan National Football League meluluskan pembelian Bin, manakala kelulusan rasmi pemilik liga dijangka dimuktamadkan pada mesyuarat tahunan hujung Mac ini.

Tokoh industri elektronik pengguna itu adalah pengasas bersama dan naib pengerusi Xiaomi, syarikat pengeluar telefon pintar utama yang beribu pejabat di Beijing.

Dengan anggaran kekayaan bersih AS$10.3 bilion (RM48.41 bilion), Bin berada di kedudukan ke-305 dalam senarai masa nyata individu terkaya dunia yang di keluarkan Forbes, Selasa lalu.

Beliau pernah berkhidmat dalam bidang kejuruteraan di Google dan Microsoft selepas memperoleh ijazah sarjana sains komputer dari Drexel University.

Pemilik Dolphins, Stephen Ross, sebelum ini memeterai dua perjanjian berasingan dengan penilaian AS$8.1 bilion (RM38.07 bilion) setiap satu bagi menjual 10 peratus pasukan kepada Ares Management serta 3 peratus kepada pemilik Brooklyn Nets, Joe Tsai dan Oliver Weisberg.

Miami menamatkan musim 2025 dengan rekod 7-10 dan melakukan perubahan besar dalam struktur pasukan selepas gagal ke playoff buat kali kedua berturut-turut. Jeff Hafley menggantikan Mike McDaniel sebagai ketua jurulatih manakala Jon-Eric Sullivan dilantik sebagai pengurus besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top