RAMAI dalam kalangan umat Islam menyimpan impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan haji atau sekurang-kurangnya melaksanakan ibadah umrah.
Namun, masih terdapat segelintir yang berasa gusar untuk ke Makkah kerana dihantui kesalahan lalu.
Adakalanya individu itu menganggap dirinya tidak layak menjadi tetamu ALLAH apabila teringat dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, perasaan gentar itu sebenarnya berpunca daripada bisikan waswas yang perlu ditangani dengan bersangka baik terhadap ALLAH.
USTAZAH ASMA’
“Kita bersangka baik ALLAH ampunkan kita, maka ALLAH ampunkan.
“Kita bersangka baik ALLAH sayang kita, ALLAH sayang kita. Kita bersangka baik bahawa ALLAH akan beri kita syurga, insya-ALLAH kita dapat syurga,” jelas beliau sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Takut tunai umrah sebab dosa silam?’ yang disiarkan di laman web Facebook miliknya baru-baru ini.
Sebagai hamba, jelas penceramah itu lagi, setiap manusia tidak terlepas daripada dosa, aib dan kesilapan.
Namun begitu, semua itu bukan alasan untuk menolak jemputan ALLAH.
“Apabila ALLAH sudah jemput kita datang ke Tanah Suci, bermaksud kita sudah bersedia. ALLAH pilih kita.
“ALLAH pilih bukan sebab kita mulia, sebaliknya DIA mahu mengangkat darjat kita,” ungkapnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, anggapan bahawa seseorang mesti ‘membersihkan’ diri sepenuhnya sebelum ke Makkah adalah tidak tepat.
Sebaliknya, perjalanan ibadah itu sendiri merupakan proses penyucian jiwa.

ANGGAPAN bahawa seseorang mesti ‘membersihkan’ diri sepenuhnya sebelum ke Makkah adalah tidak tepat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Kalau tunggu bersih dulu baru datang (beribadah di Tanah Suci), sampai bila pun tidak akan ke sana. Mana ada orang bersih daripada dosa dan kesilapan. Tujuan kita datang (ke Tanah Haram) adalah untuk membersihkan diri.
“Sebab itulah tidak ada masalah kita datang dalam keadaan lalai, banyak dosa,” katanya.
Ustazah Asma’ menambah, ALLAH tidak pernah menolak, apalagi menghukum hamba-NYA yang datang menghadap, sebaliknya DIA menyambut dengan rahmat yang luas.
Justeru, beliau menasihatkan agar kita tidak sekali-kali berprasangka buruk terhadap ALLAH, sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar mengelak daripada berbuat demikian.
Dalam sebuah hadis, Baginda SAW bersabda bahawa ALLAH SWT berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba-KU kepada-KU. Aku bersamanya apabila dia mengingati-KU…” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Beliau menambah, antara bentuk sangkaan buruk adalah rasa bimbang ibadah tidak diterima atau berfikir doa tertolak kerana dosa silam.
“Oleh itu, sangka baik mesti jaga. Jangan pernah terdetik, ‘Ya ALLAH, ENGKAU tak terima ke doa aku?’ atau ‘Ya ALLAH, ENGKAU tak sukakan aku ke?’

PERJALANAN ibadah di Tanah Suci itu sendiri merupakan proses penyucian jiwa. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Hakikatnya, ALLAH sedang membersihkan kita dengan pelbagai cara termasuk melalui ujian sakit atau kesulitan,” jelas beliau.
Mengertilah, setiap keresahan, kebimbangan, ketakutan mahupun kesakitan adalah peluang penghapusan dosa yang diberikan ALLAH kepada hamba-NYA, ungkapnya.
“Ada orang, ALLAH bersihkan dosanya dengan solat, zikir atau puasa. Akan tetapi, banyaknya ALLAH gugurkan dosa kita dengan sakit dan ujian.
“Sebab itu kita kena sentiasa bersangka baik dengan ALLAH dan (pada masa sama) berbaik sangka sesama manusia,” katanya sambil mengingatkan bahawa ALLAH MAHA PENYAYANG dan sentiasa menerima hamba kembali kepada-NYA dengan penuh harapan.