ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Ahli Lembaga Pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd (SRC) tidak boleh berselindung di sebalik alasan ‘mengikut arahan pemegang saham’, dalam tuntutan saman yang dikemukakan syarikat pelaburan strategik itu terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berhujah, bekas BOD yang dinamakan selaku pihak ketiga dalam kes saman berkenaan tidak terikat berdasarkan undang-undang untuk mengikut arahan daripada pemegang saham tunggal iaitu Najib melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Muhammad Farhan menegaskan, tambahan pula BOD perlu bebas daripada tekanan luar dan hendaklah menggunakan penghakiman yang bebas, oleh itu mereka tidak boleh berselindung di sebalik alasan berkenaan.
“Mengenai dakwaan beberapa ahli BOD yang bimbang kehilangan pekerjaan jika arahan Najib tidak dilaksanakan, alasan itu terlalu lemah bagi seseorang untuk melanggar kewajipan fidusiari.
“Jika anda tahu keputusan anda adalah betul, terdapat remedi (untuk melindungi hak anda) seperti membawa perkara itu ke Mahkamah Perusahaan.
“Anda tidak boleh terlalu tunduk kepada sesuatu sehingga melanggar kewajipan fidusiari anda. Alasan sebegitu tidak boleh diterima dalam landskap korporat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Farhan berhujah, bekas BOD SRC yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman berkenaan adalah pihak sebenar yang perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam syarikat terbabit.
Beliau berkata demikian ketika berhujah pada prosiding kes saman difailkan SRCpada 7 Mei 2021 terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil bagi menuntut ganti rugi berjumlah AS$1.18 bilion.
Dalam kes saman itu, bekas BOD SRC, Datuk Suboh Md Yassin dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.
Ia berkaitan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang diberikan kepada SRC dalam dua peringkat iaitu separuh kedua tahun 2011 dan separuh pertama tahun 2012, dan SRC memohon perisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap kerugian syarikat sebanyak AS$1.18 bilion akibat pelanggaran tugas dan amanah itu.
SRC juga memohon perintah supaya Najib membayar AS$120 juta dan Nik Faisal membayar AS$2 juta kepada SRC.
Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Semalam, peguam SRC, Datuk Lim Chee Wee berhujah, Najib berulang kali hanya meletakkan kesalahan kepada pihak lain berhubung penyelewengan dana pencen melalui syarikat itu berjumlah RM3.95 bilion.
Chee Wee berkata, dengan menjadikan pihak lain sebagai kambing hitam dalam pembelaannya, tindakan Najib itu adalah bertujuan untuk menutup ketidakjujurannya sendiri dalam penyelewengan dana berkenaan.
Sementara itu, mahkamah hari ini selesai mendengar hujahan kedua belah pihak dan selepas mendengar hujahan penutup dari Muhammad Farhan, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti hujahan semua pihak.
“Hujahan semua pihak kini sudah selesai, kini beban terletak di bahu saya. Mohon bersabar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






