Bina ekosistem pendidikan inklusif

Bina ekosistem pendidikan  inklusif


Kehidupan di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar mengenai pencapaian akademik semata-mata.

Mahasiswa hari ini berhadapan pelbagai cabaran kompleks merangkumi tekanan emosi, kewangan dan keperluan untuk mengadaptasi diri secara sosial.

Tanpa sistem sokongan yang mantap, faktor ini berisiko menjejaskan motivasi pelajar dan meningkatkan kadar keciciran pengajian.

Menyedari hakikat ini, satu instrumen pengukuran komprehensif dikenali sebagai Indeks Keterangkuman dan Kesejahteraan Siswa (i-SIW) dibangunkan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menilai tahap kesejahteraan siswa secara holistik serta mengukur keberkesanan inisiatif kebajikan oleh institusi.

Harapan tinggi diletak kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengambil langkah proaktif dalam memastikan kebajikan mahasiswa di seluruh negara terpelihara melalui penubuhan Makmal Keterangkuman dan Kesejahteraan Mahasiswa.

Dialog Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan barisan kepemimpinan mahasiswa IPT baru-baru ini menekankan bahawa KPT akan memperkasa agenda keterangkuman dan kesejahteraan mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, infrastruktur dan pengiktirafan kepimpinan pelajar.

Inisiatif strategik ini transformasi besar dalam pengurusan hal ehwal pelajar yang beralih daripada pendekatan konvensional kepada penggubalan dasar berasaskan bukti dan data empirikal.

Makmal ini berfungsi sebagai pusat rujukan utama KPT yang bertindak sebagai hab pengukuran, pemantauan dan analisis kesejahteraan mahasiswa secara holistik dan berterusan.

Makmal ini menggunakan model operasi yang sistematik dengan menganalisis data mentah hasil soal selidik dan Indeks Kesejahteraan Mahasiswa (i-SWL) untuk memetakan risiko dan sistem amaran awal.

Penubuhan makmal ini untuk menyokong aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) melalui platform nasional yang bersepadu.

Lima fokus utama kesejahteraan

Makmal ini menggariskan lima domain kritikal yang menjadi tumpuan utama bagi menjamin kelangsungan hidup dan kualiti pembelajaran mahasiswa:

Perumahan mahasiswa: Menangani isu akses kemampuan sewaan dan keselamatan, terutama bagi pelajar B40 yang menyewa di luar kampus.

Kesihatan: Meliputi cakupan menyeluruh kesihatan mental dan fizikal melalui saringan awal dan intervensi pencegahan.

Psikososial: Menguruskan isu tekanan akademik, perasaan keseorangan dan burnout bagi membina rasa kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan pelajar.

Kos sara hidup: Mitigasi tekanan kewangan melalui penyelarasan bantuan mikro, akses kepada makanan dan dana kecemasan yang efisien.

Keperluan OKU: Memperkasa akses fizikal, akademik dan digital melalui penerapan prinsip Universal Design dalam ekosistem kampus.

Kepemimpinan kolektif dan bersepadu

Bagi memastikan kelancaran operasi, makmal ini disokong struktur keahlian komprehensif membabitkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni setiap universiti, wakil Government Link University (GLU), Yayasan Perkasa Siswa, dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Setiap fokus utama diterajui majlis nasional berkaitan, seperti Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam (MAPUM) untuk perumahan, Majlis Kesihatan Universiti-Universiti Awam (MAKESUM) bagi kesihatan, dan Majlis Kaunseling Universiti-Universiti Awam (MAKUMA) untuk aspek psikososial.

Harapan masa depan:

Penubuhan Makmal Keterangkuman dan Kesejahteraan Mahasiswa ini bukan sekadar inisiatif bermusim, tetapi instrumen sokongan kritikal dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, sejahtera dan mampan.

Dengan sokongan dasar kukuh, imej universiti awam sebagai institusi yang berdaya tahan dan prihatin terhadap keperluan mahasiswa akan terus diperkukuhkan.

Lima dimensi utama kesejahteraan

Kajian i-SIW berdasarkan lima domain utama yang mewakili dimensi kritikal kehidupan seorang pelajar iaitu:

Kesejahteraan mental: Menilai tahap kestabilan emosi, ketenangan dan kemampuan pelajar mendapatkan sokongan ketika menghadapi tekanan.

Kesejahteraan akademik: Mengukur keyakinan dan keberkesanan pelajar dalam pembelajaran, termasuk hubungan dengan tenaga pengajar dan kepuasan terhadap kemudahan sokongan akademik.

Kesejahteraan kewangan: Memantau keupayaan pengurusan kewangan harian dan akses kepada maklumat bantuan atau biasiswa.

Kesejahteraan sosial: Menilai rasa kepunyaan (sense of belonging) dalam komuniti kampus serta keadilan akses kepada kemudahan tanpa diskriminasi.

Polisi dan intervensi: Mengukur impak dan keberkesanan program kebajikan yang dilaksanakan oleh pihak universiti.

Kajian rintis ini merumuskan walaupun tahap kesejahteraan siswa secara keseluruhan adalah baik, domain mental dan kewangan memerlukan intervensi berfokus.

Dengan adanya i-SIW, pihak IPT kini mempunyai alat berasaskan data empirikal untuk memastikan setiap inisiatif kebajikan yang dirancang benar-benar berpaksikan keperluan sebenar pelajar di lapangan.

Penulis Pengerusi Taskforce Kebajikan Universiti Awam Malaysia, Merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top