suliati@hmetro.com.my
Masjid tidak hanya sekadar pusat ibadah tetapi ia juga melambangkan kesatuan sesebuah komuniti dalam melaksanakan sesuatu usaha bersama-sama.
Masjid juga cerminan terhadap budaya dan tradisi masyarakat melalui kemegahan seni bina, aktiviti sosial dan martabat keilmuan.
Setiap masjid yang dibangunkan juga mempunyai keunikan sejarah yang menjadi kisah penting kepada komuniti di sekitar lokasinya.
Berabad lamanya, masjid menjadi lambang perpaduan apabila masyarakat berkumpul untuk tujuan muhibah melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong royong, kenduri-kendara, pusat pengajaran dan pembelajaran, pusat perlindungan, majlis ilmu dan pelbagai lagi.
Kembara Komuniti Masjid
Menyedari hakikat itu, Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dan McDonald’s Malaysia membawakan program televisyen (TV) terbaru, Kembara komuniti Masjid bertujuan untuk menyebarkan impak positif dan nilai murni kepada komuniti Malaysia.
Program ini juga adalah salah satu usaha memperkukuhkan peranan masjid yang sebagai pusat kemasyarakatan dan menyingkap kembali peristiwa unggul masjid di Malaysia.
Bersiaran setiap hari Selasa jam 9.50 malam di TV3, Kembara Komuniti Masjid ini akan membawa penonton meneroka tujuh masjid di seluruh negara yang mempunyai keunikan sejarah dan peranan pentingnya terhadap komuniti sehingga hari ini.
Antaranya Masjid Jamek Teluk Bahang, Pulau Pinang; Masjid Rafeah Taman Uda, Alor Setar, Kedah; Masjid Batak Rabit, Teluk Intan, Perak; Masjid As Syakirin, Merlimau, Melaka; Masjid Jamek Tanah Datar, Chengkau, Negeri Sembilan dan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Setiap masjid yang dikunjungi ini juga mempunyai sentuhan kisah yang bermakna kepada masyarakat dan teladan yang boleh menjadi pengajaran terhadap rakyat Malaysia.
Dengan adanya program ini, ia secara tidak langsung dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat yang mahu membabitkan diri dalam aktiviti komuniti masjid mereka atau untuk masjid-masjid lain memperkenalkan idea-idea ini kepada masjid mereka bagi mengimarahkan lagi suasana masjid dengan pelbagai usaha yang menarik.
Editor Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata sejak mula bekerjasama empat tahun lalu, masjid sering menjadi lokasi TKHM dan McDonald’s Malaysia menganjurkan program kemasyarakatan.
Katanya, setiap kali berkunjung ke masjid, pihak masjid sering berkongsi kisah menarik mengenai sejarah dan aktiviti yang dilakukan.
“Setiap kisah yang dikongsikan sangat bermakna untuk disebarkan kepada masyarakat.
“Oleh itu, kami TKHM dan McDonald’s Malaysia bekerjasama lagi kali ini untuk menyerlahkan peranan penting masjid kepada komuniti sambil menjalankan aktiviti kemasyarakatan,”katanya.
Selari Teras McDonald’s Malaysia
Usaha-usaha masjid yang memperkenalkan pelbagai program kemasyarakatan adalah selari dengan teras McDonald’s Malaysia yang ingin menjadi jiran yang prihatin kepada komuniti di sekitar lokasi operasi restorannya.
Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam dan syarikat tempatan, McDonald’s Malaysia sentiasa melaksanakan program kemasyarakatan berimpak positif yang boleh membawa keceriaan, mencipta detik-detik indah dan memberi manfaat kepada komuniti.
Di bawah ‘Program Komuniti McDonald’s & RMHC’, sebuah inisiatif yang memayungi segenap usaha kemasyarakatan McDonald’s Malaysia, terdapat lebih 19,000 program dilaksanakan setiap tahun oleh syarikat berkenaan.
Antara komitmen yang diserlahkan oleh McDonald’s Malaysia kepada komuniti muslim antaranya ialah sumbangan moreh pada bulan Ramadan, sumbangan minuman pada setiap Solat Jumaat, menyambut Aidilfitri dengan komuniti, menyumbangkan lembu korban ke masjid sempena Raya Aidiladha dan terkini, program Kembara Komuniti Masjid ini.
Kisah Di Sebalik Masjid
Akan bersiaran sebanyak tujuh episod, Kembara Komuniti Masjid akan menonjolkan bagaimana masjid di negara ini berfungsi sebagai pusat masyarakat setempat.
Daripada kelas agama, ceramah motivasi hingga aktiviti gotong-royong, kemudian menjadi pusat pelaksanaan program komuniti, masjid menjadi tempat mengukuhkan ukhwah.
Sebagai contoh, masjid-masjid sering menganjurkan kelas fardu ain, program bantuan kepada golongan memerlukan serta pusat sehenti yang mana bukan sahaja memupuk ilmu agama tetapi juga menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.
Program ini turut membawa penonton menelusuri kisah, sejarah, warisan keunikan seni bina masjid.
Masjid As Syakirin, Merlimau Melaka yang sudah berusia lebih seratus tahun misalnya, sejarah, seni bina serta warisan yang terdapat pada masjid itu cukup menarik.
Manakala Masjid Rafeah Taman Uda, Alor Setar, Kedah menjadi pusat sehenti untuk semua. Dengan reka bentuk unik berinspirasikan bunga raya, masjid ini juga menyediakan pelbagai kemudahan lain termasuk dewan dan tempat beristirehat buat masyarakat.
Setiap masjid punya cerita dan peranan tersendiri dalam membina ukhwah dan keharmonian komuniti sekitarnya.
Justeru, saksikan Kembara Komuniti Masjid untuk meneladani kisah-kisah inspirasi masjid dan komuniti mereka dalam membawa makna kepada kehidupan komuniti, setiap Selasa, jam 9.50 malam, hanya di TV3.
© New Straits Times Press (M) Bhd