“Binaanya Nampak Pelik” – Pak Azad Terjumpa Flat 4 Tingkat Didakwa Dibina Etnik Rohingya

“Binaanya Nampak Pelik” – Pak Azad Terjumpa Flat 4 Tingkat Didakwa Dibina Etnik Rohingya


Pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad tidak menyangka akan terjumpa sebuah kediaman bertingkat mencurigakan di kawasan terpencil Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Memetik Harian Metro, Azad berkata dia secara kebetulan melaui jalan berkenaan dan rakaman video dibuat secara tidak sengaja ketika dalam perjalanan ke lokasi penggambaran klip lagu raya sebelum Ramadan lalu.

BACA: Gelar Ibu Pempengaruh GRO, Azad Jasmi Dikecam Netizen

Video tersebut tular memaparkan flat bertingkat dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna serta sambungan paip air dan wayar elektrik yang dilihat mencurigakan.

“Saya dan pembantu peribadi memang terkejut sebab tak pernah nampak struktur seperti itu.

“Pada mulanya saya sangka mungkin penempatan golongan kurang berkemampuan, tetapi apabila dilihat dari dekat, reka bentuk dan keadaan binaannya nampak pelik.

“Ia seolah-olah dibina sendiri secara berperingkat oleh penghuni di situ. Sebab itu saya rakam video berkenaan,” katanya.

Menurut Azad lagi, ketika dia merakam video berkenaan dia melihat sekumpulan lelaki dipercayai etnik Rohingya sebelum mengambil keputusan meninggalkan lokasi itu kerana perlu ke lokasi penggambaran.

Tambah Azad lagi, struktur bangunan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kerana keadaan binaannya dilihat tidak sempurna serta tertanya sama ada mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Saya ada bertanya pandangan beberapa kenalan yang bekerja sebagai arkitek dan mereka juga berpendapat struktur itu kelihatan mencurigakan.

“Kalau melihat kepada keadaan bangunan itu, saya tertanya-tanya sama ada ia mendapat kelulusan pihak berkuasa atau sebaliknya kerana faktor keselamatan juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata dia tidak mahu membuat sebarang tuduhan sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

“Saya bukan sengaja pergi ke situ untuk mendedahkan apa-apa. Saya hanya kebetulan tersesat jalan dan ternampak kawasan itu.

“Kalau benar terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan, saya percaya pihak berkuasa lebih arif untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sumber: Harian Metro






Source link

OR

Scroll to Top