Bintang muda Ecuador maut kemalangan

Bintang muda Ecuador maut kemalangan


Keadaan kereta yang dinaiki Angulo setelah terlibat dalam kemalangan bulan lalu. Foto Agensi

SELEPAS sebulan bertarung dengan nyawa akibat kemalangan kereta, pemain bola sepak antarabangsa Ecuador, Marco Angulo meninggal dunia pada usia 22 tahun.

Khabar sedih itu dikongsi Persekutuan Bolasepak Ecuador dalam satu kenyataan pada Rabu.

Angulo terlibat dalam kemalangan pada 7 Oktober lalu yang turut mengorbankan bekas rakan sepasukannya ketika skuad remaja, Roberto Cabezas.

Beliau mengalami kecederaan kepala dan lebam pada paru-paru serta meninggal dunia di sebuah hospital di Quito selepas seminggu di unit rawatan rapi (ICU).

“Marco bukan sahaja pemain cemerlang, tetapi juga rakan sepasukan yang hebat.

“Dia juga seorang yang ceria dan baik hati. Sentiasa membawa kegembiraan ke mana sahaja dia berada,” kata Persekutuan Bolasepak Ecuador.

Angulo bermain untuk juara liga Ecuador, LDU Quito sejak Mac lalu selepas dipinjamkan dari kelab MLS Cincinnati.

Dia membuat penampilan pertama untuk pasukan senior kebangsaan Ecuador pada tahun 2022 dan sudah dua kali mewakili pasukan negaranya.

“Kami amat berdukacita atas kehilangan Marco – seorang suami dan ayah, seorang saudara serta anak dan rakan yang baik.

“Marco meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki yang masih kecil. Dia berusia 22 tahun,” kata kenyataan dari kelab Cincinnati.

Menurut laporan media Ecuador, tiga orang termasuk Angulo meninggal dunia daripada lima orang yang terlibat dalam kemalangan tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top