Port Dickson: Penggunaan 50 peratus bahasa Melayu (BM) dan 50 peratus bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat prasekolah akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi kurikulum baharu pada 2026.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, beberapa pendekatan pendidikan bersepadu lain turut diberikan tumpuan bagi prasekolah peringkat KPM, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta swasta yang menggunakan kurikulum kebangsaan.
Beliau berkata, antara lain yang diberikan perhatian dalam modul itu ialah pendidikan karakter murid-murid.
“Kitaran baharu kurikulum akan bermula pada 2027, tetapi bagi prasekolah dimulakan lebih awal iaitu 2026 dan beberapa pendekatan pendidikan bersepadu akan kita beri tumpuan,” katanya selepas merasmikan pembukaan Karnival Pantai Port Dickson: Pendidikan Awal Kanak-Kanak peringkat Parlimen Port Dickson yang dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, semalam.
Beliau menjelaskan, keupayaan guru di peringkat prasekolah juga memainkan peranan penting bagi memastikan pencapaian pemerkasaan pendidikan itu dapat dilakukan lebih holistik.
Menurut Fadhlina, semua guru prasekolah juga akan dipastikan mempunyai tahap pendidikan tertinggi peringkat ijazah berbanding sekarang iaitu kebanyakannya memiliki diploma.
“Bila kita sebut tentang penyelarasan kurikulum di semua peringkat prasekolah, tentunya keupayaan guru juga jadi keutamaan. Keupayaan guru kita adalah kompeten, ada guru kita mempunyai ijazah kerana di negara ini minimum adalah diploma dan kita sedang tingkatkan upaya itu,” katanya.
Fadhlina berkata, ibu bapa disaran memberikan komitmen dengan menggalakkan anak menerima pendidikan awal prasekolah khususnya diterajui KPM.
Beliau berkata, terdapat tiga naratif penting peringkat prasekolah iaitu menangani isu keciciran pembelajaran, intervensi malnutrisi dan intervensi keperluan pendidikan khas.
“(Isu) Enrolmen prasekolah mencabar kerana kita tiada dasar pendidikan wajib bagi peringkat prasekolah, ketika ini enrolmen mencapai 91.7 peratus dan KPM sedang bekerja keras bagi menggalakkan ibu bapa memberikan pendidikan awal kepada anak,” katanya.
Selain itu, Fadhlina berharap semua pihak tidak menyalah tafsir usaha KPM memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari tahun satu di sekolah rendah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.
“Dengarlah dulu penjelasan kita. Kita sebut elemen TVET bukannya subjek. Bila saya sebut elemen bermakna ada ciri-ciri dan pendekatan TVET. Mana-mana pihak tidak begitu jelas, saya saran datang kepada KPM dan kita terbuka untuk buat penjelasan dan berbincang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan KPM akan memperkenalkan elemen TVET bermula dari tahun satu di sekolah rendah menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.
© New Straits Times Press (M) Bhd