PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh berbangga apabila Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 berjaya mengumpul deposit sebanyak RM194 juta sejak dilancarkan pada 26 September lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, walaupun program itu akan melabuhkan tirainya pada hujung bulan ini, namun pihaknya optimis sasaran RM220 juta dapat dicapai menjelang Sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober ini.
“Kita mensasarkan simpanan kita dan mengharapkan ia dapat mencecah RM220 juta dan Alhamdulillah hari ini, kita telah mencapai jumlah yang selesa dengan lebih RM194 juta.
“Kita ada tujuh hari lagi dan saya yakin kita akan dapat mencapai jumlah yang kita sasarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan BMS 2024 di Paradigm Mall, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.
Bertemakan Fantasi dan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda, BMS 2024 mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi serta perkembangan minda kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu, di samping menyerlahkan potensi diri.
Tema ini sangat signifikan dengan moto PTPTN iaitu “Peluang Kejayaan Anda” iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha bersungguh-sungguh dan persediaan kewangan yang baik.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Simpan SSPN Got Talent, Pertandingan Pakaian Beragam Simpan SSPN, Jenga Family Competition Simpan SSPN, penampilan khas P&T Simpan SSPN, penampilan khas Didi & Friends, Snap & Win dan Happy Hour, selebriti jemputan dan banyak lagi.
Orang ramai yang berkunjung ke kaunter PTPTN turut berpeluang untuk mendapatkan tabung edisi khas BMS dan cenderahati eksklusif yang menarik melalui penabungan dalam Simpan SSPN.
Menurut Norliza, meskipun sasaran BMS 2024 belum mencapai sasaran sepenuhnya, namun objektif penganjuran program itu sedikit banyak dapat mewujudkan kesedaran betapa pentingnya amalan menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Ini menunjukkan (jumlah deposit) bahawa kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai pentingnya kita menabung untuk masa depan pendidikan anak-anak kita.
“Saya menyeru semua pengunjung Paradigm Mall ini atau masyarakat di luar sana ambil peluang ini, buka akaun Simpan SSPN untuk anak-anak kita seawal usia sehari.
“Apabila umur mereka mencapai 18 tahun, mereka dapat menyambung pelajaran tanpa membuat pinjaman ataupun kalau ambil pinjaman pun pada kadar yang rendah,” katanya.
Selain itu, katanya, penganjuran BMS 2024 bukan sahaja untuk menyuburkan amalan penabungan di negara ini, bahkan untuk mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
“Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, Simpan SSPN menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit dan Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang laya.
“Kita mempunyai dividen yang kompetitif iaitu 3.6 peratus pada tahun lepas, manakala pada tahun ini kita jangkakan kadar dividen lebih tinggi dari tahun lepas.
“Kita juga memberikan perlindungan insurans Ringgit ke Ringgit kepada simpanan yang mencecah RM1,000 dan sudah tentu ia patuh syariah serta dijamin oleh kerajaan,” katanya.
Katanya, BMS 2024 yang masuk tahun ketujuh penganjurannya sejak 2018 merupakan salah satu usaha untuk menyebar luas manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
“Penganjuran BMS 2024 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang hadir sepanjang program ini berlangsung.
“Alhamdulillah, dalam tempoh dua dekad, Simpan SSPN terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.
Ketika Majlis Penutup BMS 2024, Norliza turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka dan hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.
Sempena 20 tahun Simpan SSPN, buat julung kalinya, PTPTN melancarkan lagu Simpan SSPN berjudul Terbang Tinggi yang melambangkan komitmen PTPTN dalam usaha menyuburkan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia. – MalaysiaGazette