KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mengadakan pertemuan tidak rasmi dalam rangka memupuk semangat perpaduan.
Ia selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti iaitu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama akan memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah, kata kenyataan Bersama BN dan PH Sabah hari ini.
Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Bagi maksud itu, kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti-parti lain sebagai persediaan memasuki Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua parti,” ujar kenyataan yang sama.
Kenyataan bersama itu melibatkan Pengerusi BN dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup, Pengerusi DAP Sabah, Jannie Lasimbang dan Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin.
Selain itu, ia juga melibatkan Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin, Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir dan
Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL