am@hmetro.com.my
Melaka: Pakatan Harapan (PH) Melaka diingatkan supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan ini kerana BN yang pada ketika ini mendominasi kerusi DUN di negeri itu tidak sesekali akan melepaskan kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kepada gabungan berkenaan, termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata ketika rundingan dibuat menjelang PRN lalu, PH sangat susah untuk bersetuju memberikan kerusi yang dimenangi parti komponen mereka kepada BN.
“Kali ini, senang-senang saja (mereka) nak kerusi yang kami dah menang. BN tidak akan sama sekali memberikannya (kerusi dimenangi) kepada PH.
“Jika nak juga, kita bertanding di tempat yang sama, mudah saja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali dan boleh teruskan bermimpi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Kenyataan itu susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina bertajuk `9 Cawangan DAP Melaka meluluskan resolusi strategi 14BN+14PH pada PRN Melaka akan datang.
Difahamkan, sembilan cawangan itu adalah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.
Dalam kenyataan bersama, semua cawangan terbabit menyokong supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selari semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Usul terbabit dikatakan bertujuan memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat yang terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi, selain mengukuhkan kestabilan politik serta kesinambungan dasar di peringkat negeri dan Pusat.
Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 dimenangi BN, lima PH dan dua PN.
Mengikut rekod, PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd