BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu bekerja keras bagi menangani persepsi negatif yang dilempar musuh politiknya terhadap parti itu, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, jika persepsi berkenaan tidak ditangani, ditangkis dan diperjelaskan ia akan terus melekat diminda rakyat.
“Kita belajar daripada pengalaman dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), bahawa persepsi sengaja dilempar sebagai satu propaganda, bukan hanya untuk menjatuhkan seseorang itu dari politik malah parti yang dipimpinnya, inilah yang berlaku kepada BN dan UMNO,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ahli UMNO perlu menularkan gambaran sebenar mengenai apa yang dilakukan oleh parti itu, kerana penerimaan rakyat terutama netizen terhadap parti itu bergantung kepada berapa banyak persepsi yang sampai kepada mereka.
“Jika negatif (persepsi) yang banyak dilempar, maka negatiflah yang akan menguasai minda dan jiwa netizen terutama mereka yang anti pembangunan,” katanya. – BERNAMA