DUA kelab baharu bakal mewarnai pentas elit Eropah musim ini apabila Pafos FC dari Cyprus dan wakil Norway, Bodo/Glimt sah melakar penampilan sulung dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menempuh aksi playoff dramatik.
Pafos yang hanya ditubuhkan 11 tahun lalu mengesahkan slot berprestij itu selepas mengikat Red Star Belgrade 1-1 dalam aksi timbal balik di Limassol, sekali gus mara dengan agregat 3-2.
Pemain sayap Brazil, Jaja muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-89 selepas Red Star terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Mirko Ivanic.
Lebih manis, Pafos kini menjadi kelab ketiga dari Cyprus yang layak ke Liga Juara-Juara selepas Apoel dan Anorthosis Famagusta.
Mereka sebelum ini menyingkirkan Maccabi Tel Aviv (Israel) serta Dynamo Kyiv (Ukraine) di peringkat kelayakan.
Pafos
Pafos juga baru-baru ini mengikat bekas pertahanan Chelsea dan Arsenal, David Luiz yang kini berusia 38 tahun.
Dalam satu lagi aksi playoff, Bodo/Glimt turut mencatat sejarah apabila mara dengan agregat 6-2 ke atas Sturm Graz dari Austria meskipun tewas 1-2 pada perlawanan kedua.
Kelab yang berpangkalan 200 kilometer di utara Lingkaran Artik itu sekali gus muncul wakil Norway pertama sejak Rosenborg pada musim 2007/08 beraksi di saingan tertinggi kelab Eropah.
Bodo/Glimt yang bermain di Stadium Aspmyra berkapasiti 8,270 tempat duduk sebelum ini mencuri tumpuan apabila mara ke separuh akhir Liga Europa musim lalu sebelum disingkirkan juara akhirnya, Tottenham Hotspur.
Sementara itu, wakil Kazakhstan, Kairat Almaty juga mencipta kejutan selepas menyingkirkan gergasi Scotland, Celtic menerusi penentuan penalti sekali gus menyertai Astana sebagai kelab kedua negara itu layak ke Liga Juara-Juara.
Turut mengiringi mereka ialah juara Belgium, Union Saint-Gilloise yang turut melakar penampilan pertama.
Majlis undian peringkat liga akan berlangsung di Monaco pada Jumaat ini dengan perlawanan pertama dijadualkan bermula dari 16 hingga 18 September.