NAMA Estevao Willian mula meniti di bibir setiap penyokong Chelsea apabila menulis babak epik sulungnya di pentas Liga Perdana Inggeris menumbangkan Liverpool.
Remaja berusia 18 tahun dari Brazil itu mencipta momen magis apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-95 untuk membantu The Blues menundukkan Liverpool 2-1, sekali gus menghumban juara bertahan itu kepada kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan.
Gol dramatik itu hadir selepas lebih 16 bulan sejak Chelsea bersetuju membawa masuk Willian dari kelab gergasi Brazil, Palmeiras, menandakan detik sebenar kehadirannya dalam bola sepak England.
Dalam sekelip mata, pemain muda yang sebelum ini hanya disebut-sebut kerana potensinya kini menjadi wajah baharu harapan di Stamford Bridge.
Jaringan kemenangan itu hadir hasil gerakan kemas di sayap kiri, apabila Marc Cucurella melorongkan bola rendah ke kawasan tiang jauh dan Willian bijak menyambar peluang untuk menolak masuk gol sulungnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Sambutan gol itu cukup emosional apabila pengendali Chelsea, Enzo Maresca, tidak mampu menahan diri lalu berlari hampir 50 meter meraikan bersama pemainnya, menyebabkan beliau dilayangkan kad merah oleh pengadil.
Walaupun kehilangan dua pertahanan utama akibat kecederaan dan tidak menurunkan penyerang sensasi Cole Palmer, Chelsea tetap menemui jalan kemenangan dan sekali lagi, penyelamatnya ialah seorang remaja.
Sepanjang 20 minit di padang selepas dimasukkan pada minit ke-75, Willian sempat menguji penjaga gol Liverpool, Giorgi Mamardashvili, melakukan empat gerakan dribel, mencipta dua peluang, termasuk satu hantaran lintang yang disambut Enzo Fernandez terkena tiang pada minit ke-91.
Keupayaan teknikalnya yang halus, kelajuan dan keberanian menentang pemain lebih berpengalaman membuatkan penyokong berdiri kagum.
Nama Estevao mula disebut-sebut sebagai permata baharu selepas aksi-aksi penuh keyakinan yang diserikan dengan helah kaki, nutmeg dan sentuhan kreatif yang memukau.
Sebelum tiba di England, Willian sudah mencipta nama di tanah airnya bersama Palmeiras dan mewakili skuad kebangsaan Brazil sebanyak tujuh kali, di bawah kendalian legenda bekas pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti.
Namun, penyesuaian diri di England bukan proses mudah selepas beliau tiba sejurus tamat Piala Dunia Kelab musim panas ini.
“Seorang pemain muda memang akan melalui fasa sukar apabila berpindah ke negara baharu dan bermain untuk kelab besar seperti ini,” ujar penolong pengurus Chelsea, Willy Caballero, yang menggantikan Maresca pada sidang media selepas perlawanan.
“Namun, rakan sepasukannya banyak membantu, dan kami sendiri sentiasa cuba membimbingnya. Saya banyak berkomunikasi dengannya dalam bahasa Sepanyol kerana dia memahami.
“Dia anak muda yang baik dan kami semua gembira untuknya. Gol itu penting untuk dia, dan juga untuk pasukan,” katanya.
Legenda Chelsea, Pat Nevin juga turut terpukau dengan kebolehan luar biasa pemain muda itu.
“Setiap kali pemain Chelsea mendapat bola, mereka cari Estevao. Itu sudah menceritakan segalanya. Dia baru 18 tahun, tapi semua mahu hantarkan bola kepadanya. Itu tanda pemain istimewa, apa yang dilakukan dalam latihan, dia bawa ke perlawanan sebenar. Percayalah, dia akan jadi istimewa,” katanya.
Ringkasan AI
- Estevao Willian mencetak gol kemenangan Chelsea terhadap Liverpool pada minit ke-95 dalam Liga Perdana Inggeris
- Gol tersebut adalah gol sulung Willian dalam saingan Liga Perdana Inggeris, datang hasil kerjasama dengan Marc Cucurella
- Pengendali Chelsea, Enzo Maresca, meraikan gol tersebut secara emosional hingga mendapatkan kad merah
- Willian menunjukkan prestasi cemerlang dalam masa 20 minit bermain, mencipta peluang dan menguji penjaga gol Liverpool
- Sebelum ke England, Willian telah mencipta nama bersama Palmeiras dan mewakili Brazil di bawah kendalian Carlo Ancelotti