Tunku Ismail FOTO: HRH CROWN PRINCE OF JOHOR
PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyangkal sukan bola sepak di negara ini gagal berdasarkan kejayaan cemerlang JDT di pentas Asia.
Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, sukan bola sepak negara digambarkan berdepan pelbagai masalah susulan ramai individu yang tidak layak berada dalam industri sukan itu.
“Kadangkala sukar untuk difahami kenapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal sedangkan Kelab JDT telah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
“Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun.
“Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7 peratus) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membenarkan lebih banyak kelab-kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.
“JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015) selain mempunyai fasiliti terbaik – termasuk perubatan – di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail FOTO: HRH CROWN PRINCE OF JOHOR
Menurut baginda, ia antara pencapaian hebat yang pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan.
“Jadi bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia?
“Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik? Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
“Bola sepak tidak gagal, ia kerana individu-individu dalam pasukan-pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu,” kata baginda.
Justeru, baginda mahu semua pihak tidak hanya menuding jari dan mencari kesalahan tanpa melihat apa yang berlaku dari dalam pasukan itu sendiri.
Sebelum kita menuding jari dan mencari kesalahan pada sistem atau JDT meskipun Harimau Selatan berjaya di Asia termasuk penganugerahan ‘AFC Two-Star Academy’, ianya adalah lebih wajar jika kita melihat apa yang berlaku dari dalam dan mendesak perubahan.
“Bermula dengan pasukan masing-masing. Sebuah liga dengan pasukan-pasukan yang diuruskan dengan baik serta mempunyai fasiliti moden dan pembangunan program-program akar umbi yang kuat di peringkat kelab akan meningkatkan lagi standardnya,” ujar baginda.