KETIKA minggu pertama Aidilfitri, boleh dikatakan laman sosial masing-masing penuh dengan hantaran dan gambar raya keluarga.
Jika diteliti, ramai juga yang menukar gambar peribadi kepada bentuk imej kartun menggunakan pelbagai kemudahan teknologi termasuklah aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikannya mudah, pantas dan menarik.
Ia seakan menjadi satu trend masyarakat di negara ini untuk menukar gambar sendiri atau kenalan kepada versi kartun, lalu dimuat naik ke akaun media sosial masing-masing.
Ada ketikanya, hasil suntingan kelihatan terlalu cantik berbanding realiti. Masakan tidak, wajah seseorang diubah sepenuhnya.
Namun begitu, terdapat juga paparan imej yang dihasilkan tidak menyerupai gambar asal seperti jumlah individu dalam gambar ditambah atau ekspresi ditokok tambah hingga mengubah maksud asal.
Di sebalik kecomelan dan kreativiti yang ditampilkan, timbul persoalan adakah tindakan itu dibenarkan dalam Islam?
Mengulas fenomena itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum mengubah gambar manusia menjadi bentuk kartun bergantung kepada tujuan serta kesannya terhadap maruah individu tersebut.
USTAZ AZHAR IDRUS
“Seandainya perbuatan itu tidak mengurangkan darjat kebesaran, tidak menjatuhkan maruah orang, bahkan menyukakan (lagi) manusia kepada akhirat, hukumnya harus,” katanya.
“Namun kalau sampai jadi menghina orang atau menurunkan martabat orang yang patut kita muliakan, hukumnya dilarang syarak,” tegas beliau sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok @Ceramah.ustaz33 pada Isnin.
Tidak cukup sekadar itu, agamawan tersebut menjelaskan, larangan berkenaan bukan hanya tertakluk kepada gambar tokoh atau ulama, tetapi turut merangkumi ahli keluarga sendiri.
“Bahkan bukan sahaja watak ulama, gambar-gambar anak beranak kita pun kalau kita buat jadi benda hina, (maka) haram (hukumnya),” ujarnya.
Andai suntingan gambar dibuat sekadar untuk gurauan ringan tanpa unsur menjatuhkan maruah, jelas Ustaz Azhar, perbuatan itu dibenarkan.
“Sebagai contoh, orang melakukan suntingan gambar anak, keluarga atau kawan dia (yang dirakam) di pejabat, tetapi kemudian disunting (lokasinya) duduk di atas gunung, ada salji dan sebagainya.
“(Ia) tidak ada unsur menghina atau mengaibkan orang, maka harus (berbuat demikian).

ANDAI suntingan gambar dibuat sekadar untuk gurauan ringan tanpa unsur menjatuhkan maruah, perbuatan itu dibenarkan. -Foto: CANVA
“Bagaimanapun, jika sampai tahap menghina, disebarkan di khalayak ramai dan menjadi aib orang, (perbuatan itu) sama seperti mengumpat,” katanya.
Begitu juga dalam isu menggelarkan seseorang dengan penghinaan, terutama apabila menggunakan nama-nama haiwan dalam bentuk ejekan, tuturnya.
Jelas beliau, penggunaan gelaran binatang pada hakikatnya dibolehkan jika ia bermaksud memuliakan, seperti ‘raja singa’ yang membawa maksud sangat berani atau ‘wahai burung helang’ (menggambarkan sifat sangat tangkas).
“Tidak boleh sama sekali gelarkan orang dengan binatang yang hina seperti anjing,” terangnya.