SEMUA umat Islam maklum bahawa mendirikan solat lima waktu merupakan satu kewajipan seperti termaktub dalam Rukun Islam.
Ini membawa maksud kita sebagai Muslim yang memenuhi syarat wajib solat, mahu atau tidak kita mesti menunaikan sembahyang seperti yang diperintahkan ALLAH SWT.
Bagaimanapun, dalam melaksanakan suruhan Ilahi itu, adakalanya kita merasakan sangat berat untuk melakukan solat lebih-lebih lagi dalam keadaan sakit atau penat, namun terpaksa juga menunaikan sembahyang.
Persoalannya, apakah solat dalam keadaan terpaksa itu diterima ALLAH SWT?
DR KAMILIN
Pendakwah, Dr Kamilin Jamilin ketika ditanya soalan yang sama kepadanya, beliau menjelaskan, kemungkinan solat yang dilakukan ketika dalam keadaan berat dan terpaksa itu adalah paling ikhlas.
“Ada orang pernah cakap kat saya, kadang-kadang rasa berat sangat nak solat. Nak bangun solat Subuh tu rasa berat, (waktu) Zuhur saya terkejar-kejar nak kerja dan lunch, Asar pula terkejar-kejar nak balik. Maghrib dan Isyak pula saya dah penat (sebab) baru balik kerja, nak tengok TV dan sebagainya.
“Adakah ALLAH SWT terima solat saya ketika itu? Saya jawab, boleh jadi solat ketika kamu rasa berat itulah solat yang paling ikhlas dan boleh jadi doa ketika kamu solat itulah doa yang ALLAH makbulkan sebab doa dan solat kamu yang paling ikhlas,” jelasnya di menerusi Facebook pada Ahad.

TETAPLAH melaksanakan kewajipan solat lima waktu walaupun dalam keadaan sibuk dan berat. Foto Canva
Hurai pendakwah itu lagi, apabila seseorang itu dalam keadaan sedang sibuk dan rasa berat untuk melakukan solat, namun dia berusaha berhenti sekejap untuk meluangkan masa bersama ALLAH.
“Sebab apa? Sebab kita takut dosa, ALLAH murka, azab-NYA dan takut api neraka. Itulah ikhlas.
“Kita buat (dirikan solat) kerana ALLAH, bukan kerana dunia. Kita takut ALLAH murka, kita buat kerana perintah ALLAH dan nak ganjaran-NYA. Itulah ikhlas,” ujarnya.
Oleh sebab itu Dr Kamilin berpesan, jangan pernah berhenti untuk mendirikan solat lima waktu walaupun dalam keadaan sibuk dan berat untuk melakukannya.

WALAUPUN sibuk melaksanakan amanah bekerja, ambillah sedikit masa untuk menunaikan sembahyang lima waktu. Foto Canva
“Jadi sesibuk mana sekalipun kita, jangan sesekali kita berhenti menunaikan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH sebab boleh jadi itulah solat kita yang paling bermakna dan paling bermanfaat buat kita,” nasihatnya.