Bolehkah ambil kepala, ekor dan tanduk haiwan korban?

Bolehkah ambil kepala, ekor dan tanduk haiwan korban?


TULAR pada Aidiladha tahun lalu, gambar kepala lembu korban yang dibuang berhampiran tong sampah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ada yang meluahkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah pihak yang membuang sisa haiwan korban sewenang-wenangnya, seolah-olah tidak menghargai nilai pengorbanan yang terkandung dalam ibadah mulia itu.

Melihat kepada situasi itu, timbul persoalan adakah peserta korban boleh mengambil bahagian-bahagian seperti kepala, ekor, tanduk atau bahagian lain yang biasanya dianggap ‘sisa’ selepas proses sembelihan?

Adakah ia dibenarkan oleh syarak atau dianggap melanggar adab dalam ibadah korban?

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, peserta korban diharuskan untuk mengambil mana-mana bahagian daripada haiwan korban dengan niat untuk dimakan atau dimanfaatkan bagi kegunaan lain.

“Bahkan, perbuatan mengambil bahagian organ dalaman seperti hati untuk dimakan juga menepati sunnah Rasulullah SAW,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Fatwa Khas Haji & Korban Siri ke-103: Adakah Peserta Korban Boleh Mengambil Bahagian-Bahagian Lain Seperti Ekor, Kepala atau Tanduk Haiwan Korban yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti itu baru-baru ini.

SELAIN daging, peserta korban juga boleh memanfaatkan bahagian lain seperti kulit haiwan, sama ada untuk digunakan sendiri atau dipinjamkan kepada orang lain. -Foto: CANVA

Secara asasnya, jelas pejabat mufti itu, perbuatan peserta ibadah korban mengambil sedikit bahagian daripada haiwan korban untuk dijadikan makanan adalah antara perkara yang disunatkan.

ALLAH SWT berfirman: “Dengan yang demikian makanlah kami dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (Surah al-Hajj: 28)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah mengambil bahagian hati haiwan korban untuk dijadikan sebagai makanan.

Buraidah bin Al-Husayb Al-Aslami meriwayatkan: “Apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, Rasulullah SAW makan sesuatu terlebih dahulu sebelum Baginda keluar untuk menunaikan solat, manakala apabila tiba Hari Raya Aidiladha pula, Baginda hanya akan makan setelah pulang daripada menunaikan solat. Makanan tersebut ialah hati daripada haiwan korban Baginda.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kedua-dua dalil itu jelas membuktikan bahawa mengambil sedikit bahagian haiwan korban bukan sahaja dibenarkan, bahkan termasuk dalam perkara yang disunatkan dalam ibadah korban.

Dalam Mazhab Syafie, amalan mengambil bahagian korban itu turut diperincikan lanjut.

“Menurut Imam al-Nawawi, wajib bagi peserta korban menyedekahkan sebahagian daripada daging kepada orang lain, dan lebih utama (afdal) jika menyedekahkan keseluruhan daging korban.

“Namun begitu, mengambil sedikit bahagian untuk dimakan adalah sesuatu yang dibolehkan bagi mendapatkan keberkatan daripada pelaksanaan ibadah itu,” kata artikel itu.

Di samping itu, pejabat mufti tersebut menjelaskan, selain daging, peserta korban juga boleh memanfaatkan bahagian lain seperti kulit haiwan, sama ada untuk digunakan sendiri atau dipinjamkan kepada orang lain.

Bahkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan, Imam Ibn Hajar al-Haytami ada menghuraikan bahawa bahagian seperti tanduk haiwan korban juga termasuk dalam anggota yang boleh dimanfaatkan atau disedekahkan oleh peserta korban.

SECARA asasnya, penjualan kulit, daging korban atau bahagian-bahagian lain daripada haiwan korban adalah tidak dibenarkan di sisi Mazhab Syafie kecuali bagi golongan fakir miskin. -Foto: CANVA

SECARA asasnya, penjualan kulit, daging korban atau bahagian-bahagian lain daripada haiwan korban adalah tidak dibenarkan di sisi Mazhab Syafie kecuali bagi golongan fakir miskin. -Foto: CANVA

“Imam Ibn Hajar al-Haytami ketika menghuraikan kenyataan Imam An-Nawawi turut memuatkan contoh seperti tanduk haiwan korban sebagai salah satu anggota atau bahagian yang boleh disedekah atau dimanfaatkan sendiri oleh peserta korban,” jelasnya.

Meskipun dibenarkan mengambil bahagian-bahagian tertentu daripada haiwan korban, terdapat juga garis panduan yang perlu dipatuhi oleh peserta.

Menerusi video bertajuk ‘Hukum menjual kulit atau bahagian daripada haiwan korban’ yang disiarkan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor, peserta korban termasuklah jawatan kuasa pengendali korban dilarang dan diharamkan untuk menjual kulit atau apa-apa bahagian daripada haiwan korban.

Ini kerana ia mengambil hukum daging korban dari sudut haram menjualnya.

Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang menjual kulit haiwan korban, maka tiada korban baginya.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

“Selain itu, Imam An-Nawawi juga menyatakan bahawa penjualan kulit, daging korban atau bahagian-bahagian lain daripada haiwan korban adalah tidak dibenarkan di sisi Mazhab Syafie.

“Bagi golongan yang fakir, mereka harus membelanjakan bahagian korban yang diterimanya.

“Ini berbeza dengan orang kaya, yang mana mereka tidak dibenarkan untuk melakukan perkara seperti menjualnya. Namun, dia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan dengan cara menjamu tetamu,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top