SOAL kebersihan dalam Islam bukan perkara kecil hinggakan kadangkala hal yang nampak remeh seperti pinggan atau cawan pun boleh menimbulkan persoalan besar.
Bolehkah digunakan lagi jika pernah terkena najis berat?
Bahkan, terdapat segelintir orang apabila mendengar perkataan khinzir sahaja, terus seram sejuk satu badan. Ia sehinggakan nampak pinggan yang ‘mencurigakan’, laju sahaja ia dibuang ke dalam tong sampah.
Sebenarnya, tidak perlulah sampai bertindak sebegitu kerana dalam Islam, setiap perkara ada caranya termasuk bagaimana hendak membersihkan najis paling berat sekalipun.
Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, umat Islam perlu menilai sesuatu isu dengan ilmu dan bukan semata-mata dengan emosi.
Apatah lagi, Islam ialah agama yang berasaskan panduan syariat dan bukti yang jelas, bukan sangkaan atau perasaan.
JIKA benar-benar yakin pinggan atau bekas itu pernah kena khinzir atau anjing, maka ia perlu disertu iaitu dibasuh tujuh kali dan salah satunya menggunakan air bercampur tanah. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Menurut Bahagian Dakwah Jakim, para ulama bersepakat bahawa khinzir merupakan najis secara zatnya iaitu dari kepala hingga ke ekor, termasuk bulu, tulang dan kulit.
Firman ALLAH SWT berfirman: “…atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor…” (Surah al-An‘am: 145)
“Maknanya, tak kira sembelih elok macam mana pun, tetap najis. Takkan jadi ‘elok sikit’ ke apa.
“Maknanya jelas, khinzir ini najis tahap ‘paling berat’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Membersihkan bekas kamu yang dijilat anjing ialah dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya menggunakan air tanah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis itu, Bahagian Dakwah Jakim menjelaskan, hukum penyucian najis berat berpandukan kaedah yang sama.
“Ulama berkata, jika anjing pun kena basuh tujuh kali, khinzir lebih-lebih lagi wajib disertu sebab ‘tahap’ najisnya lebih tinggi,” katanya.
Dari sudut fiqh, Bahagian Dakwah Jakim menjelaskan, terdapat dua jenis najis yang perlu difahami iaitu najis ‘aini dan hukmi.

HARUS hukumnya menggunakan pinggan selagi tiada bukti yang benar-benar meyakinkan bahawa ia pernah terkena najis berat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Najis ‘aini ialah najis yang boleh dilihat, dibau atau dikenal pasti melalui bentuk fizikalnya seperti tahi, darah dan air kencing.
“Sementara itu, najis hukmi adalah kesan najis yang sudah hilang, tetapi tetap kena sertu sebab dulu pernah kena najis itu.
“Cara hendak mencucinya adalah jika benar-benar yakin bekas itu pernah kena khinzir atau anjing, maka kena basuh tujuh kali dan salah satunya guna air bercampur tanah,” terangnya.
Bagaimanapun, jika sekadar sangkaan sahaja tanpa bukti kukuh, Bahagian Dakwah Jakim menegaskan, Islam tidak menyuruh umatnya hidup dalam fobia atau bertindak berdasarkan prasangka.
“Kalau cuma sangkaan saja contohnya ‘Eh, macam pernah orang guna makan babi kot’, jangan cepat buat andaian.
“Islam tak suruh kita hidup dalam fobia dan sangkaan,” tegasnya.
Dalam keadaan itu, Bahagian Dakwah Jakim menjelaskan, hukum asal pinggan tersebut adalah harus digunakan selagi tiada bukti yang benar-benar meyakinkan bahawa ia pernah terkena najis berat.
Islam mengajar umatnya untuk berpegang pada asas yakin dan tidak mudah digugat oleh sangkaan.
Selain itu, persoalan yang sering timbul adalah berkaitan penggunaan bekas milik orang bukan Islam. Adakah ia juga perlu disamak sebelum digunakan oleh orang Islam?

KITAB Al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa bekas milik orang kafir boleh digunakan selepas dibasuh. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Bahagian Dakwah Jakim kemudian merujuk kepada kitab Al-Fiqh al-Manhaji yang menyatakan bekas milik orang kafir boleh digunakan selepas dibasuh.
Ia sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abu Tha‘labah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Basuhlah bekas mereka, kemudian makanlah dengannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
“Maksudnya, basuh dulu sebagai langkah berjaga-jaga, kemudian tiada masalah untuk digunakan.
“Seperkara lagi, basuhan itu adalah sunat, bukannya wajib sebab kita tak pasti pun dia (orang bukan Islam) guna untuk apa. Namun, kalau benar-benar yakin mereka masak khinzir pagi tadi, baru wajib sertu tujuh kali,” katanya.