La Paz: Presiden Bolivia, Rodrigo Paz yang memulakan tugas bulan lalu pada Rabu memaklumkan bahawa kerajaannya akan menamatkan subsidi bahan api yang sudah lama dilaksanakan sebagai usaha untuk mengukuhkan akaun awam.
“Ini tidak bermakna pengabaian oleh kerajaan, ia bermaksud ketertiban, keadilan dan pengagihan semula yang nyata, jelas dan telus,” katanya dalam satu perutusan negara.
Walaupun Paz berkata perincian langkah itu akan dibentangkan dalam dekri kerajaan yang akan datang, ia nampaknya dikuatkuasakan serta-merta terhadap sektor pertanian dan perniagaan yang menurut presiden sebelum ini akan menjadi sasaran utama.
Paz juga berkata, beliau akan membuka ruang bagi membenarkan import diesel secara terus memandangkan syarikat minyak milik negara, YPFB bergelut mendapatkan bekalan.
Bolivia membekukan harga bahan api pada 2006 dengan seliter diesel berharga 3.72 Boliviano (kira-kira RM2.55) dan petrol premium pada 3.74 Boliviano (kira-kira RM2.57).
Selepas pelarasan, diesel kini berharga 9.80 Boliviano (kira-kira RM6.73) seliter manakala premium akan berharga 6.96 Boliviano (kira-kira RM4.78) seliter.
Menteri Minyak dan Gas, Mauricio Medinaceli berkata harga akan ditetapkan untuk tempoh enam bulan, namun beliau tidak menolak kemungkinan pelarasan lanjut akan dilakukan.
Paz mewarisi ekonomi yang bergelut dan berdepan rundingan sukar di badan perundangan untuk meluluskan reformasi yang menurut pakar ekonomi diperlukan bagi menstabilkan kewangan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






