am@hmetro.com.my
Georgetown: Seorang lelaki warga emas seberat kira-kira 150 kilogram (kg) diusung menerusi tangga dari kediamannya di tingkat satu sebuah pangsapuri di Kampung Batu Uban, Gelugor, di sini, oleh sepasukan bomba bagi dibawa ke hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 8.01 pagi, hari ini.
Katanya, penugasan membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan kekuatan seramai tujuh anggota diketuai Mohd Akmal Nasjuan Harun.
“Panggilan daripada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu meminta bantuan bagi mengangkat lelaki obesiti dari tingkat satu.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati berada dalam keadaan sedar dan mengalami pendarahan pada kaki kanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut John berkata, pasukan penyelamat bertindak mengangkat lelaki berkenaan menggunakan selimut dan mengambil masa satu minit bagi menurunkan mangsa.
“Mangsa kemudian diserah kepada pasukan perubatan di lokasi bagi tindakan lanjut.
“Difahamkan, pendarahan di kaki mangsa berpunca daripada penyakit kencing manis yang dihidapi,” katanya lagi.
Operasi ditamatkan pada jam 8.51 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






