am@hmetro.com.my
Georgetown: Sepasukan anggota bomba dipanggil bagi membantu mengangkat jenazah lelaki obesiti dengan anggaran berat badan hampir 200 kilogram menggunakan lif Flat Padang Tembak, Ayer Itam di sini, hari ini.
Difahamkan, lelaki yang dianggarkan berusia 50-an itu tinggal sendirian di tingkat 14 flat berkenaan dan meninggal dunia kira-kira 2 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis jam 5.59 petang bagi memohon bantuan menurunkan jenazah.
“Pasukan penyelamat melakukan ‘size up’ bersama pakaian pelindung diri (PPE) lengkap bagi mengangkat jenazah.
“Jenazah diangkat menggunakan pengusung kanvas ke tingkat bawah dan turut dibantu penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
John Sagun berkata, jenazah kemudian diserah kepada pihak pengurusan jenazah dan polis bagi tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan identiti mangsa ketika tugas ihsan ini dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd