Bonnie penerima terbanyak Shakam, bawa pulang RM1.02 juta

Bonnie penerima terbanyak Shakam, bawa pulang RM1.02 juta



ferzalfie@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, tersenyum lebar apabila muncul penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan ganjaran RM1.02 juta selepas menjuarai kategori 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet berusia 25 tahun ini bukan sahaja meraih pingat emas, tetapi juga memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg.

Sebagai pemenang emas, Bonnie layak menerima insentif RM1 juta, ditambah RM20,000 untuk pencapaian memecahkan rekod.

Kejayaan ini adalah kali kedua buat Bonnie meraih status ‘jutawan’ apabila menerima insentif serupa ketika meraih emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Namun, Bonnie mengakui kejayaan kali ini lebih bermakna, terutama kerana dia terpaksa berdepan kesakitan akibat kecederaan bahu sebelum menjadi juara.

“Setiap angkatan di Paris amat mencabar. Rasa sakit itu memang berbaloi apabila saya dapat mencapai kejayaan ini,” ujar Bonnie selepas Majlis Penyampaian Shakam yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Selain Bonnie, jaguh badminton para, Cheah Liek Hou, turut menerima insentif RM1 juta selepas memenangi emas dalam kategori SU5.

Ini juga adalah kali kedua bagi Liek Hou membawa pulang ganjaran yang sama selepas kejayaan di Tokyo.

Dua atlet olahraga para, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), masing-masing menerima RM300,000 selepas meraih perak.

Sementara itu, atlet pecut dalam acara 100 meter (m) T44, Eddy Bernard yang meraih gangsa menerima RM100,000.

Majlis juga meraikan pemenang gangsa badminton Sukan Olimpik Paris 2024, Lee Zii Jia dan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang masing-masing mendapat RM100,000.

Hannah mengumumkan bahawa jumlah keseluruhan Shakam untuk kedua-dua temasya adalah RM3.6 juta (termasuk insentif buat jurulatih) dan menghargai sokongan rakyat Malaysia yang menyokong atlet negara.

“Ganjaran ini adalah hasil keringat rakyat. Marilah kita bersyukur dan terus berlatih demi negara, bukan hanya untuk ganjaran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top