Bonnie meraih pingat emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pada Piala Dunia 2025 di Beijing, China, pada Ahad. Gambar fail Bernama
JAGUH powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin terus memperkukuh reputasinya di pentas antarabangsa apabila meraih pingat emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) pada Piala Dunia 2025 di Beijing, China, pada Ahad.
Badang kerdil kelahiran Sarawak itu melakukan angkatan terbaik seberat 215kg dalam saingan yang berlangsung di China Administration of Sports for Persons with Disabilities (CASPD), sekali gus mengekalkan penguasaannya dalam kategori berkenaan.
Bagaimanapun, pencapaian itu masih belum mampu mengatasi rekod dunia miliknya, iaitu 232kg yang dicatat ketika mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Pingat perak diraih atlet Cuba, Jesus Cuevas Cisneros dengan angkatan seberat 175kg, manakala atlet India, Ramubhai B. Bhambava membawa pulang gangsa selepas mencatat angkatan 151kg. – Bernama