JAGUH powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin tidak akan memandang enteng kelibat Donato Telesca yang mampu menggugat kedudukannya mempertahankan emas kategori 72 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris.
Biarpun memiliki reputasi selaku pemegang rekod dunia iaitu 231kg dan temasya 228kg, namun Bonnie berkata, dia perlu berhati-hati dengan saingan dari Telesca memandangkan belum dapat mencongak strategi bakal diatur pencabar terdekatnya dalam saingan berlangsung di Porte de La Chapelle Arena itu nanti.
“Sekarang saya dalam fasa capai kemuncak prestasi. Untuk pertahankan memang ada tekanan, namun saya perlu sediakan mental untuk meraihnya dan juga pecah rekod.
“Saya juga tidak mengetahui perkembangan terkini pencabar dari Itali itu, jadi sekarang dalam fasa berhati-hati,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Datuk R Subramaniam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan di sini hari ini.
Dalam pada itu, dia ternyata bangga apabila sekali lagi dipilih untuk membawa Jalur Gemilang ketika upacara pembukaan rasmi temasya sukan berprestij itu pada 28 Ogos ini.
Bonnie yang pernah menjadi pembawa Jalur Gemilang pada edisi Tokyo 2020 berkata penghormatan itu membakar semangatnya untuk terus mengharumkan nama negara pada Paris 2024.
Sementara itu, Bonnie gembira melihat Nicodemus Manggoi Moses serta pemenang pingat perak 107kg lelaki di Tokyo 2020 Jong Yee Khie akan bersamanya di Paris 2024.
“Sebelum ini di Tokyo, ada saya dan Yee Khie, sekarang kami pergi bertiga, rasa gembira sokongan makin bertambah,” katanya.
Nicodemus yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Paralimpik kali ini akan beraksi dalam kategori 97kg lelaki.
Sukan Paralimpik 2024 akan dibuka secara rasmi pada 28 Ogos dan melabuhkan tirainya 8 September ini.
PROFIL
Nama: Bonnie Bunyau Gustin
Umur: 25 tahun
Negeri kelahiran: Sarawak
Kategori: 72kg lelaki
Hobi: Bersiar-siar
Makanan kegemaran: Nasi goreng ikan masin
Bilangan adik-beradik: Tiga (anak kedua)
Pencapaian:
Juara Sukan Paralimpik Tokyo 2020
Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022
Juara Kejohanan Dunia 2019, 2021 dan 2023
Juara Sukan Para Asia Hangzhou 2022
Pemegang rekod dunia 231kg
Pemegang rekod Sukan Paralimpik 228kg