KELAB penyokong Boys Of Straits (BOS) yakin reputasi gah Stadium Sultan Ibrahim (SSI) akan terus membakar semangat kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berdepan Burriram United bagi aksi kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Selasa ini.
Menurut jurucakap BOS, Farween Johar, aksi berkenaan sememangnya dinanti-nantikan penyokong yang mahu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu melakar satu lagi sejarah arena bola sepak tempatan.
“Perlawanan ini bukan sekadar aksi bola sepak biasa. Ia bakal menjadi perlawanan terbesar dalam sejarah bola sepak Johor.
“Kami semua sedar, kalau JDT menang, ini bukan sahaja sejarah untuk pasukan tetapi juga untuk bola sepak Malaysia kerana peluang ke peringkat suku akhir adalah sesuatu yang belum pernah dicapai oleh mana-mana kelab di Malaysia sebelum ini.
“Insya-ALLAH, suara dan sorakan penyokong ke-12 ini bakal bergema di stadium bagi memberikan semangat kepada pasukan Harimau Selatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod, bagi aksi pertama pusingan 16 di Stadium Chang, 4 Mac lalu, kedua-dua pasukan sekadar terikat tanpa jaringan.
Tambah Farween, persiapan BOS menjelang perlawanan berkenaan telah berada di tahap maksimum dengan 30 bas dari seluruh daerah di negeri ini telah disediakan bagi membawa penyokong ke SSI.
Malah katanya, setakat ini kesemua 35,000 tiket telah habis dijual dan memberikan gambaran skuad Harimau Selatan itu bakal menerima sokongan padu Selasa ini.
“Dengan semangat luar biasa penyokong dan kelebihan bermain di laman sendiri, JDT kini bersedia untuk mencipta sejarah di gelanggang keramat SSI!
“Lagi pun, JDT bukan sahaja membawa nama negeri, tetapi juga imej bola sepak Malaysia itu sendiri di pentas Asia,” katanya.
Mengulas mengenai inisiatif daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyediakan bubur lambuk kepada penyokong pada hari perlawanan Farween berkata, ia dilihat sebagai sesuatu yang sangat bermakna.
“Secara keseluruhannya, penyediaan bubur lambuk ini daripada baginda merupakan satu langkah yang baik kerana membantu penyokong berbuka puasa berikutan perlawanan dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam.
“Malah, kami sendiri turut mengadakan majlis berbuka bagi memastikan kesemua ahli dapat hadir awal ke stadium kerana biarpun ia hari bekerja dan sekolah, semangat penyokong tetap membara untuk bersama-sama memberikan sokongan,” katanya.