Pemain Botafogo (belakang) meraikan kejayaan menewaskan PSG. FOTO: AFP
PARIS Saint-Germain (PSG) dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada kelab Brazil, Botafogo dalam aksi Piala Dunia Kelab pada Jumaat, dalam pertembungan sengit membabitkan juara Eropah dan Amerika Selatan itu.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain antarabangsa Brazil, Igor Jesus pada separuh masa pertama, yang sudah cukup untuk memastikan kemenangan penting buat Botafogo di hadapan 53,699 penonton di Pasadena Rose Bowl.
Juara Ligue 1 itu sebelum ini dianggap antara pilihan utama kejohanan 32 pasukan anjuran FIFA, selepas mempamerkan musim cemerlang susulan kemenangan besar 5-0 ke atas Inter Milan dalam aksi final Liga Juara-Juara bulan lalu.
Namun, hasrat PSG untuk menjadi pasukan pertama mara ke pusingan 16 terbaik tidak kesampaian apabila mereka berdepan aksi penuh disiplin dan semangat juang tinggi daripada wakil Rio de Janeiro itu.
“Ramai yang sangsi, tapi kami buktikan betapa kuatnya Botafogo. Ia perlawanan yang sukar, kami perlu bertahan dengan baik dan kami berjaya laksanakan tugas serta menjaringkan gol.
“Kami amat gembira, kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Satu pasukan juara Liga Juara-Juara, satu lagi juara Amerika Selatan,” katanya.
Jesus, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Nottingham Forest, namun memilih untuk kekal bersama Botafogo bagi beraksi di pentas Piala Dunia Kelab.
“Saya rasa saya buat keputusan tepat untuk kekal di Botafogo,” katanya.