‘Botak’ kagum sokongan padu rakyat Malaysia

‘Botak’ kagum sokongan padu rakyat Malaysia


Figueireido (kanan) menjadi antara pemain yang menyerlah ketika menentang Vietnam. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB

PEMAIN warisan baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo, meluahkan rasa kagum terhadap sokongan luar biasa yang ditunjukkan penyokong Malaysia ketika aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Menurutnya yang melakukan penampilan sulung bersama Harimau Malaya, sokongan padu penyokong telah menjadi pemangkin semangat kepada dirinya dan rakan sepasukan untuk beraksi dengan cemerlang sehingga berjaya menewaskan Vietnam.

“Sejak kali pertama saya tiba di sini, saya merasai sambutan hangat daripada penyokong. Hari ini di stadium, seramai 50,000 hingga 60,000 penyokong hadir, dan sokongan itu sangat hebat.

“Kami beraksi untuk penyokong dan mereka memberikan kami motivasi di atas padang untuk menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Figueiredo memulakan pesta jaringan skuad negara apabila meledak gol pertama Harimau Malaya pada minit ke-49, sebelum seorang lagi penyerang warisan baharu, Rodrigo Holgado, menggandakan kedudukan 10 minit kemudian.

La’Vere Corbin Ong terus menjarakkan kedudukan menerusi gol ketiga pada minit ke-67, sebelum Dion Cools menutup perlawanan dengan gol keempat dua minit sebelum tamat.

Dalam pada itu, pemain kelab Turkiye, Istanbul Basaksehir itu mengakui bahawa perlawanan dan kemenangan tersebut merupakan langkah pertama ke arah lebih banyak kejayaan yang ingin dikecapi oleh skuad negara.

“Masih banyak yang kami mahu buktikan dan kami mahu memperbaiki persembahan. Saya sendiri tidak boleh berpuas hati dengan hanya satu perlawanan.

“Sasaran kami lebih besar daripada ini dan kami mahu melangkah lebih jauh,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top