Kuala Lumpur: Siapa sangka permainan papan yang kelihatan santai dan berwarna warni sebenarnya mampu menjadi alat terapi baharu untuk warga emas. Itulah keistimewaan Brainergy, inovasi yang bukan sahaja menghiburkan, malah merangsang fungsi kognitif golongan berusia.
Brainergy mencipta detik manis apabila meraih Pingat Emas dalam pertandingan International Invention, Innovation & Design Exhibition (IIDEX) 2025 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam dari 28 hingga 30 Oktober lalu.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat Brainergy sebagai antara inovasi tempatan paling berimpak dalam bidang terapi kognitif.
Menurut penyelidik utama, Dr Zarina Zahari, permainan papan interaktif itu dibangunkan bagi membantu warga emas kekal aktif secara mental melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mudah diikuti.
“Kami mahu cipta kaedah yang membuatkan mereka berfikir, bergerak dan berhubung dengan orang sekeliling. Bila mereka ketawa dan berbual ketika bermain, itu sendiri sudah menjadi terapi,” katanya.
Brainergy menampilkan pelbagai kad cabaran, soalan dan aktiviti ringan berdasarkan komponen kognitif seperti ingatan, perhatian dan bahasa.
Menariknya, semua kad ini dibina mengikut standard Mini Mental State Examination (MMSE), menjadikan Brainergy bukan sekadar permainan, tetapi alat rehabilitasi sebenar yang boleh digunakan dalam fisioterapi dan program komuniti.
Ujian awal di Pusat Fisioterapi UiTM Puncak Alam menunjukkan sambutan sangat positif apabila warga emas yang mencubanya melaporkan mereka lebih ceria, bersemangat dan berasa ‘muda kembali’ apabila dapat bermain bersama rakan serta ahli keluarga.
Dengan Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2048, inovasi seperti Brainergy dilihat penting dalam menyokong Dasar Warga Emas Negara serta usaha kerajaan mempromosikan penuaan aktif dan sihat.
Lebih membanggakan, Brainergy kini dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang melibatkan reka bentuk papan permainan, kad cabaran dan semua bahan pengajarannya.
Perlindungan itu memastikan keaslian produk terjamin dan membuka ruang luas untuk dikomersialkan di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Pasukan penyelidik juga merancang untuk memperluas penggunaan Brainergy ke pusat komuniti, rumah jagaan warga emas dan klinik rehabilitasi seluruh negara selain membangunkan versi digital agar ia boleh dimainkan secara dalam talian.
“Matlamat kami mudah, kami mahu warga emas kekal aktif, gembira dan merasa diri mereka masih penting dalam masyarakat,” kata Puan Siti Zulaikha Zainuddin dari Pusat Fisioterapi UiTM.
© New Straits Times Press (M) Bhd





