HASRAT Atletico Madrid dan Porto untuk terus mengibar cabaran di pentas Piala Dunia Kelab terkubur awal, manakala dua gergasi Argentina, Boca Juniors dan River Plate, turut sama mengucapkan selamat tinggal.
Namun begitu, Brazil kekal unggul apabila keempat-empat wakil mereka mara ke pusingan kalah mati, dengan satu tempat ke suku akhir sudah pun terjamin buat negara bola samba itu.
Keadaan ini susulan pertemuan sesama wakil Brazil yang menemukan Palmeiras dan Botafogo dalam perlawanan tumpuan yang akan berlangsung di Philadelphia pada Ahad.
Sementara itu, Flamengo akan turun menentang gergasi Jerman, Bayern Munich pada Isnin, manakala Fluminense pula dijadualkan bertemu Inter Milan pada Selasa.
Keadaan cuaca panas melampau yang sedang melanda Amerika Syarikat ketika ini memaksa pihak penganjur memperkenalkan masa rehat tambahan, namun tidak semua pemain terjejas dengan keadaan tersebut.
“Kami sudah biasa dengan suhu seperti ini. Saya harap ia menjadi kelebihan buat kami,” ujar pertahanan kanan Botafogo, Vitinho, yang pernah menyarung jersi Burnley selama dua musim.
Tambahan pula, keempat-empat pasukan Brazil sedang berada dalam tempoh rehat pertengahan musim liga domestik mereka yang berlangsung dari Mac hingga Disember.
Keadaan ini nyata memberikan mereka kelebihan dari segi kecergasan berbanding kelab-kelab Eropah yang tiba di kejohanan ini selepas melalui musim yang panjang dan meletihkan.
Untuk rekod, Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen menentang Atletico Madrid di Pasadena pada 15 Jun, hanya dua minggu selepas menamatkan musim dengan kemenangan 5-0 ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Munich.
INFO
EMPAT WAKIL BRAZIL
1. Flamengo
Pasukan paling konsisten dari Brazil setakat ini, Flamengo menerajui carta liga domestik dan layak ke kejohanan ini selaku juara Copa Libertadores 2022 – kejuaraan ketiga mereka dalam sejarah.
Dalam peringkat kumpulan, mereka mengejutkan Chelsea dengan kemenangan bergaya 3-1 dan muncul juara kumpulan tanpa sebarang kekalahan.
2.Fluminense
Setelah menjuarai Copa Libertadores buat julung kali pada 2023, Fluminense hampir dimalukan musim lalu apabila hampir tersingkir dari liga utama Brazil.
Kini mereka berada di tangga keenam liga selepas 11 perlawanan. Pasukan ini diketuai oleh bekas pemain Chelsea, Thiago Silva, dan turut menampilkan penjaga gol berusia 44 tahun, Fabio – pemain tertua dalam kejohanan.
3.Palmeiras
Sebagai salah satu kelab paling berjaya di Amerika Selatan, Palmeiras memiliki 57 trofi termasuk tiga kejuaraan Copa Libertadores. Mereka juga menjuarai liga Brazil pada musim 2023.
Pemain bintang mereka, Estevao yang baru berusia 18 tahun, bakal menyertai Chelsea selepas kejohanan ini. Sebelum ini, mereka turut menjual bakat muda, Endrick, kepada Real Madrid.
4.Botafogo
Botafogo mencipta kejutan terbesar apabila menundukkan juara Eropah, PSG, dalam saingan kumpulan. Mereka menyapu bersih kejuaraan utama benua pada 2024 – Copa Libertadores dan liga domestik.
Namun, musim ini agak mencabar selepas beberapa pemain utama berpindah. Di bawah pemilikan John Textor, Botafogo bangkit dari kemelut kewangan kepada kuasa besar bola sepak benua.
Penyerang utama, Igor Jesus, yang kekal bersama pasukan, dijangka menyertai Nottingham Forest selepas kejohanan.