PENYERANG Vinicius Jr mengantikan Rodrygo bagi menyalakan semula cabaran Brazil menentang Venezuela dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan di Estadio Monumental de Maturín, pada Jumaat.
Pengendali Brazil, Dorival Jr berkata, skuad Samba itu sejak kebelakangan ini bergelut dalam menyediakan skuad mantap berikutan isu kecederaan.
“Saya rasa kami mengalami beberapa situasi yang sangat rumit baru-baru ini. Malangnya, satu demi satu kecederaan… kini pula Militao,” kata Dorival.
Vinicius Jr, yang terlepas kemenangan Brazil ke atas Peru dan Chile bulan lalu kerana kecederaan leher, akan kembali dalam kesebelasan utama selepas rakan sepasukan Real Madrid, Rodrygo mengalami kecederaan otot ketika menang 4-0 ke atas Osasuna dalam LaLiga, Sepanyol.
Sementara itu, rakan senegara Eder Militao akan menjalani pembedahan akibat kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang dialami dalam permainan yang sama.
Dorival menambah bahawa pemain tengah Andre dan bek kiri Guilherme Arana akan dinilai untuk melihat sama ada cergas untuk menghadapi Uruguay minggu depan kerana mereka terlepas latihan atas sebab perubatan.
“Penilaian lebih terperinci akan dibuat selepas perlawanan Venezuela supaya kami boleh membuat perubahan yang diperlukan. Buat masa ini, kami akan cuba pulih daripada cara kecederaan yang telah ditangani,” katanya.
Penjaring rekod Brazil, Neymar pula kembali ke kelabnya Al-Hilal bulan lalu selepas setahun berehat akibat kecederaan lutut serius.
Bagaimanapun, dia telah diketepikan semula selepas mengalami kecederaan hamstring dalam kemenangan 3-0 minggu lalu ke atas gergasi liga Iran, Esteghlal dalam Liga Juara-Juara Asia Elit.
“Kepulangan Neymar, secara beransur-ansur. Bukan mudah untuk melalui saat seperti itu. Ia menjadikan anda lebih kuat dan lebih tabah. Tiada siapa yang mahu ia berlaku, tetapi yang berlaku tetap berlaku. Kami menyokong mereka semua dan berdoa untuk cepat balik,” kata Dorival mengenai Neymar.
Mengenai dua perlawanan dalam masa terdekat Dorival berkata, pasukannya akan berusaha memanfaatkan momentum selepas memenangi dua perlawanan terakhir untuk berada di kedudukan keempat dalam kelayakan Amerika Selatan dengan 16 mata daripada 10 perlawanan.
“Jika kami boleh mengulangi apa yang kami lakukan dalam dua perlawanan terakhir… kami akan mendapat momentum. Tiada apa yang berakhir. Kami ada menunjukkan peningkatan, walaupun situasi ini bukan yang kami cari bagi mengharungi kempen ini,” katanya.
Brazil bertandang ke Venezuela pada Jumaat sebelum menjadi tuan rumah kepada Uruguay di Fonte Nova Arena, pada 20 November.