Insiden kad merah Norgaard di Stadium Goodison Park pada Sabtu lalu.
BRENTFORD menangi rayuan terhadap insiden kad merah yang dilayangkan kepada Christian Norgaard selepas semakan Pembantu Pengadil Video (VAR) ketika terikat tanpa jaringan menentang Everton di Stadium Goodison Park pada Sabtu lalu.
Kapten Brentford itu menerjah lutut penjaga gol Everton, Jordan Pickford ketika pemain kelahiran Copenghagen, Denmark berusia 30 tahun berkenaan berusaha mendapatkan bola.
Pengadil Chris Kavanagh tidak memberikan sebarang kesalahan, namun pengadil VAR, Matt Donohue, yang hanya mula bekerja sebagai pembantu video Liga Perdana Inggeris bulan lalu, menghantarnya ke skrin untuk dilayangkan kad merah kerana kesalahan serius.
Pengurus Brentford, Thomas Frank berang dengan keputusan itu berkata: “Bagi saya insiden itu bukan kad merah.
“Chris tidak bernasib baik apabila studnya mengenai Pickford. Dia tiada niat sebenarnya untuk melakukan kekasaran, sebaliknya hanya cuba menjaringkan gol.
“Pengadil diberitahu untuk membuat keputusan di atas padang, yang pada pendapat saya adalah keputusan yang baik di atas padang tetapi dibatalkan VAR.”
Sebagai rekod, sekiranya Norgaard kalah rayuan berkenaan dia terlepas perlawanan menentang Leicester City, Aston Villa dan Newcastle United.