Paris: Brighton terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang kelab Norway, Tromso pada aksi pertama play-off Liga Konferens di Norway, awal pagi tadi.
Perlawanan yang berlangsung kira-kira 300 kilometer di utara Garisan Artik itu menyaksikan penjaga gol Tromso, Jakob Haugaard tampil cemerlang dengan dua aksi menyelamat pada babak pertama untuk menafikan percubaan Georginio Rutter dan Ibrahim Osman.
Brighton menguasai sebahagian besar permainan, namun gagal memecah kebuntuan.
Tromso turut beberapa kali mengancam menerusi serangan balas apabila Heine Larsen dinafikan penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen, sebelum Isak Vadebu mensia-siakan peluang keemasan pada minit-minit akhir.
Brighton hanya membuat penampilan kedua dalam saingan Eropah selepas mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa pada 2024.
Skuad kendalian Fabian Hurzeler itu akan menerima kunjungan Tromso pada aksi timbal balik Jumaat depan.
Hurzeler turut memberikan penampilan sulung kepada pertahanan Luka Vuskovic susulan perpindahan rekod kelab dari Tottenham, namun Brighton tidak dapat menurunkan Carlos Baleba dan Yankuba Minteh.
Kedua-dua pemain itu diketepikan akibat kecederaan dan masing-masing dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United serta Liverpool.
Brighton akan membuka kempen Liga Perdana Inggeris dengan aksi di laman sendiri menentang Aston Villa, Isnin ini.
Dalam satu lagi aksi, Rangers mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Republik Czech, Jablonec di Glasgow.
Ryan Naderi menjaringkan gol tunggal pada awal babak kedua, manakala Rangers terpaksa menghabiskan perlawanan dengan 10 pemain selepas Cammy Devlin dilayangkan kad merah.
Skuad kendalian Derek McInnes itu menjadi satu-satunya daripada tiga kelab Scotland yang meraih kemenangan.
Hearts pula seri 2-2 di laman sendiri ketika menentang Rapid Vienna, manakala Motherwell tewas 1-3 kepada Freiburg, naib juara Liga Europa musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
