Fernandes (kiri) percaya Ronaldo masih mampu beraksi di Piala Dunia 2026.
PEMAIN tengah Manchester United, Bruno Fernandes telah menyatakan hasratnya untuk membantu Cristiano Ronaldo memenuhi impian memenangi Piala Dunia.
Piala Dunia merupakan satu-satunya trofi yang belum berjaya diraih menerusi kerjaya penuh gemilang Ronaldo dalam sukan bola sepak.
Fernandes menegaskan bahawa matlamat memenangi Piala Dunia itu bukan sahaja penting untuk Ronaldo tetapi juga untuk seluruh negara Portugal.
“Sungguh luar biasa jika Cristiano menyertai Piala Dunia dan dapat mencapai impian untuk memenanginya bersama pasukan kebangsaan Portugal.
“Ia bukan sahaja istimewa untuknya tetapi juga untuk kita semua, rakyat Portugal yang ingin memberikan kegembiraan ini kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, Fernandes turut memberikan pandangannya tentang masa depan Ronaldo sama ada perlu bersara atau sebaliknya dalam beberapa tahun akan datang.
“Walaupun sekiranya dia berjaya memenangi Piala Dunia, saya tidak tahu sama ada dia mahu bersara atau terus bermain kerana dia sentiasa mempunyai keinginan untuk meningkat.
“Setiap tahun, dia mahu untuk berbuat lebih baik dan bagi mereka yang masih meraguinya, dia masih mempunyai banyak perkara yang boleh dibuktikan,” tegasnya.