Buat kerja sambilan, ubah gaya hidup hadapi kos hidup meningkat

Buat kerja sambilan, ubah gaya hidup hadapi kos hidup meningkat


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini yang turut dipengaruhi ketidaktentuan ekonomi global termasuk konflik di Iran memberi tekanan kepada golongan pelajar universiti khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Rata-rata pelajar mengakui mereka kini terpaksa mengubah gaya hidup, lebih berjimat dan mencari sumber pendapatan tambahan bagi memastikan kelangsungan hidup sepanjang pengajian.

Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), Abdul Rahman Osman Long Chow, 23, berkata, kos hidup yang meningkat memberi kesan besar terutama kepada pelajar berjauhan dari keluarga.

“Harga barang naik menyebabkan saya perlu keluarkan lebih banyak duit untuk keperluan harian. Kadang-kadang duit habis sebelum hujung bulan walaupun saya sudah rancang perbelanjaan,” katanya yang berasal dari Segamat, Johor.

Menurutnya, dia berjimat dengan membeli barangan dapur ketika ada diskaun di pasar raya, memasak sendiri serta menyertai program universiti yang menyediakan makanan percuma.

“Saya juga cari duit tambahan dengan menjual kek batik serta terlibat dalam produksi teater untuk dapatkan elaun,” katanya.

Bagi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nor Humairah Miswadi, 23, kenaikan harga barang keperluan harian menyebabkannya lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan.

“Harga makanan dan barang dapur naik. Saya rasa terbeban sebab sumber kewangan terhad. Jadi saya kurangkan makan di luar dan lebih banyak memasak sendiri,” katanya yang turut bekerja sambilan di kafe universitinya.

Sementara itu, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dewi Malisa Martin, 23, berkata, kenaikan harga makanan di kampus sangat ketara berbanding sebelum ini.

“Dulu nasi dengan ayam boleh dapat RM5, sekarang boleh cecah RM8. Jadi saya kena lebih berjaga-jaga sebab duit PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) perlu cukup untuk satu semester,” katanya.

Menurutnya, dia mengamalkan bajet mingguan serta memasak sendiri bagi mengawal perbelanjaan.

“Kalau ada masa lapang, saya buat kerja sambilan sebagai ‘runner’ hantar barang untuk pelajar lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top