Buat walimatulurus jangan sampai hilang keberkatan majlis

Buat walimatulurus jangan sampai hilang keberkatan majlis


ADAKALANYA ketika bertandang ke majlis perkahwinan, bunyi muzik hingar bingar dan pembesar suara yang berdentum-dentum kuatnya membuatkan tetamu terganggu hingga berasa sukar untuk berbual.

Malah, ada yang gelisah mahu segera beredar daripada walimatulurus berkenaan.

Keadaaan itu bukan sahaja mengganggu, bahkan boleh menyebabkan hilangnya roh keberkatan yang sepatutnya ada dalam sebuah walimatulurus.

Pendakwah terkemuka, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi menjelaskan, kenduri kahwin dianjurkan bukan hanya untuk meraikan pasangan, tetapi turut menjadi wasilah menghebahkan pernikahan agar terhindar daripada fitnah.

USTAZ JAFRI

“Perkahwinan perlu dihebahkan sebagai untuk mengelak fitnah, maka buat kenduri. Nabi Muhammad SAW pun buat kenduri bila Baginda berkahwin. 

“Bila majlis itu (diharap membawa) barakah, (maka) kena cari jalan untuk bawa berkat masuk. Jika ia dilaksanakan atas perintah Nabi Muhammad SAW, sudah tentu ada cara-cara untuk memelihara barakah ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa. 

Jelas penceramah itu, suasana majlis sepatutnya meraikan tetamu dan membawa keberkatan, bukan sekadar memenuhi adat dengan hiburan yang keterlaluan.

Beliau menegaskan, ada majlis yang kehilangan roh barakah kerana suasananya dipenuhi dengan muzik bising hingga menyebabkan malaikat ‘lari’ daripada walimatulurus.

“Yang lari itu bukan sekadar tok imam atau ustaz yang tidak selesa duduk dalam majlis, tetapi malaikat pun sama.

“Tuan-tuan ingat malaikat selesa duduk dengar lagu?” soalnya.

Dalam pada itu, Ustaz Jafri menegaskan, walimatulurus sepatutnya menjadi ruang untuk menghidupkan doa-doa yang diajar Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar pesta makan atau hiburan.

APA yang diharapkan daripada penganjuran walimatulurus bukan sekadar tetamu hadir menjamu selera, sebaliknya mencari keberkatan melalui doa, silaturahim dan suasana yang dirahmati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

APA yang diharapkan daripada penganjuran walimatulurus bukan sekadar tetamu hadir menjamu selera, sebaliknya mencari keberkatan melalui doa, silaturahim dan suasana yang dirahmati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Doa yang dianjurkan Baginda SAW ketika meraikan pasangan pengantin seperti Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma wa jama‘a bainakuma fi khair seharusnya menjadi inti pati majlis yang membawa keberkatan kepada pasangan dan seluruh tetamu yang hadir.

Namun katanya, keberkatan itu akan berkurangan jika suasana majlis lebih menekankan keseronokan duniawi sehingga melalaikan.

“Kalau doa halau orang balik, doa halau para malaikat balik, bagaimana nak dapat keberkatan?

“Saya nampak kita lebih seronok dan selesa untuk melayan diri kita sendiri berbanding dengan tetamu yang patutnya diraikan,” jelasnya.

Ustaz Jafri menasihatkan agar tuan rumah mengubah perkara itu dan mencadangkan supaya penganjur meraikan tetamu dengan cara yang selari dengan roh Islam.

“Tak salah nak panggil deejay. Kalau kenduri tanpa deejay, rasa macam tak kenduri sangat (kurang meriah). Namun, bolehkah jika yang dipasang itu selawat?

“Pasanglah selawat, tetapi jangan terlalu kuat. Biarlah alunan yang menenangkan sehingga tetamu pun rasa damai atau boleh juga diputarkan nasyid yang menyebut nama ALLAH sekadar untuk meraikan jemputan,” katanya.

WALIMATULURUS sepatutnya menjadi ruang untuk menghidupkan doa-doa yang diajar Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar pesta makan atau hiburan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

WALIMATULURUS sepatutnya menjadi ruang untuk menghidupkan doa-doa yang diajar Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar pesta makan atau hiburan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Jelas beliau, apa yang diharapkan daripada penganjuran walimatulurus bukan sekadar tetamu hadir menjamu selera, sebaliknya mencari keberkatan melalui doa, silaturahim dan suasana yang dirahmati.

“Ubahlah sedikit. Jangan sampai majlis kita jadi medan melalaikan, sedangkan tujuan asal walimatulurus adalah menghidupkan sunnah, menjauhi fitnah dan meraih berkat,” titipnya.



Source link

OR

Scroll to Top