Bandar Seri Begawan: Orang ramai yang menggunakan lebuh raya berdekatan Penanjong, Brunei, baru-baru ini, dikejutkan dengan bangkai seekor buaya di tengah jalan.
Menurut Facebook Brunei fm, buaya itu dilanggar sebuah kereta jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik ketika ia dikatakan melintas jalan menuju habitatnya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, tetapi kenderaan itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Beberapa gambar yang dikongsikan di Facebook menunjukkan keadaan tayar kiri kereta itu yang tercabut, manakala reptilia berkenaan terbaring di tengah jalan.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
Kebanyakan pengguna Facebook bersimpati dengan nasib pemandu dan juga reptilia itu.
“Nasib jua driver (pemandu) tidak apa-apa, semoga urusan si pemandu di permudahkan… Bahaya jua kalau dh (sudah) buaya naik ke jln (jalan) raya sudah atu… Kali ia mau (mahu) jadi buaya darat sudah atu…,” kata Badrul Abdullah.
Pengguna lain menggunakan akaun She Azreen HH berkata, semoga pemilik kereta dipermudahkan segala urusan.
“Binatang tidak salah, yang pemandu pun tidak salah. Mana kan disangka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd