am@hmetro.com.my
Seremban: “Saya tidak melihat kemungkinan itu berlaku kerana ia bukan pendirian parti sebaliknya cadangan itu adalah pandangan peribadi beliau (Ahli Parlimen Kampar),” kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menegaskan perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin supaya MCA dibubarkan dan menyertai DAP tidak pernah dibincangkan dalam parti.
“Itu hanyalah pandangan peribadi ahli Parlimen terbabit, bukan pendirian parti, malah perkara itu tidak pernah dibincangkan.
“Jadi, saya tidak merasakan ada kemungkinan perkara itu berlaku.
“Dia boleh bagi pandangan tapi bagi saya yang pertamanya, ini bukan pendirian parti dan yang kedua saya tak nampak ada kemungkinan seperti itu,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Minum Petang Menteri Pengangkutan Bersama Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Parlimen Seremban di sini, hari ini.
Chong Zhemin dalam kenyataan semalam, dilaporkan menyarankan MCA dibubarkan dan sertai DAP sekiranya masih berhasrat memperjuangkan nilai majmuk, keadilan dan kemajuan sejati di negara ini.
Beliau dipetik berpandangan MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina, kerana parti itu menang kerana undi menyokong Umno.
Terdahulu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menyampaikan sijil penghargaan dan insentif wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,000 kepada 219 lepasan SPM dari parlimen itu yang memperoleh keputusan cemerlang semua A.
© New Straits Times Press (M) Bhd