Buckley (kiri) yakin mampu menumbangkan Islam jika bintang Dagestan itu beralih ke divisyen welterweight. Foto Agensi
PETARUNG Amerika Syarikat, Joaquin Buckley menegaskan bahawa kehadiran Islam Makhachev dalam divisyen welterweight bukanlah satu ancaman besar, walaupun ramai menjangkakan bintang dari Dagestan itu bakal mencipta kejayaan segera seperti di divisyen lightweight.
Menurut Buckley, divisyen welterweight adalah yang paling kompetitif dalam UFC ketika ini dengan kehadiran barisan petarung elit seperti Ian Garry, Shavkat Rakhmonov, Sean Brady dan penyandang juara, Jack Della Maddalena.
“Saya tak nampak Islam mampu menguasai divisyen ini seperti yang dia lakukan di lightweight.
“Dia perlu buktikan dahulu bahawa dia benar-benar layak bersaing di sini.
“Kalau saya yang pegang tali pinggang welterweight, saya yakin dia akan kekal saja di divisyennya,” ujar Buckley.
Islam dijangka mengosongkan gelaran lightweight bagi merealisasikan impian bergelar juara berganda dengan menewaskan Della Maddalena.
Jika berjaya, ia akan menjadi satu pencapaian bersejarah yang gagal diraih oleh mentor dan rakan baiknya, Khabib Nurmagomedov.
Susulan itu, UFC 317 hujung bulan ini akan menyaksikan Ilia Topuria dan Charles Oliveira bertarung bagi merebut gelaran lightweight yang ditinggalkan Islam.Sementara itu, Buckley bakal kembali ke oktagon Ahad ini menentang bekas juara, Kamaru Usman dalam acara utama UFC Fight Night di State Farm Arena, Atlanta.
Buckley kini dalam prestasi terbaik, dengan enam kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Colby Covington dan Stephen Thompson. Usman pula masih memburu kebangkitan selepas kekalahan terakhirnya kepada Khamzat Chimaev di UFC 294 lebih setahun lalu.