Singapura: Perenang cilik China, Yu Zidi mencuri tumpuan apabila hampir menghadiahkan pingat buat negaranya meskipun baru berusia 12 tahun di Kejohanan Dunia Renang di Singapura.
Yu yang membuat penampilan sulung di pentas akhir kejohanan dunia, menamatkan saingan di tempat keempat acara 200 meter (m) rampaian wanita dengan catatan 2 minit 09.21 saat, hanya 0.06 saat (s) dipisahkan daripada pingat gangsa.
Ratu renang Kanada, Summer McIntosh meraih pingat emas, manakala perenang Amerika Syarikat, Alex Walsh membawa pulang perak.
Alex mengakui kagum dengan kemampuan Yu yang masih muda tetapi sudah mampu bersaing di peringkat tertinggi.
“Dia sangat berbakat biarpun baru berusia 12 tahun. Saya rasa menarik untuk lihat bagaimana dia menggunakan pengalaman kejohanan ini untuk renangan masa depannya,” kata Alex.
Yu dilaporkan terpantas di permulaan perlumbaan dan berada di kedudukan ketiga sebelum mula ketinggalan di penghujung acara.
Dia akan kembali beraksi dalam dua lagi acara di Singapura, iaitu 400m rampaian dan 200m kuak kupu-kupu.
Pemenang gangsa, Mary-Sophie Harvey dari Kanada, percaya Yu bakal menjadi ancaman utama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Saya rasa dia akan berdepan tekanan menjelang penghujung kejohanan sebab dia dah berenang sangat baik setakat ini.
“Saya juga pernah berada di usia remaja seperti dia. Ketika itu, saya fikir kejohanan seperti ini hanyalah untuk kutip pengalaman. Tapi bagi Yu, saya rasa kita akan melihatnya lebih kerap menjelang LA 2028,” kata Mary.
Difahamkan, Yu mula menyertai sukan renang pada usia enam tahun untuk menyejukkan badan ketika musim panas yang terik di China.
Jurulatih tersohor kelahiran Australia, Michael Bohl, yang kini membimbing skuad renang China, pernah meramalkan potensi besar dalam diri Yu.
“Saya tak pernah lihat budak 12 tahun yang boleh berenang seperti ini,” katanya kepada penyiar rasmi China, CCTV, pada Mei lalu.
Syarat minimum usia untuk bertanding di Kejohanan Dunia ialah 14 tahun, namun atlet lebih muda dibenarkan bertanding jika seperti Yu mereka berjaya melepasi had kelayakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd