PADA usia hanya 12 tahun, Yu Zidi dari China mencipta kejutan di Kejohanan Akuatik Dunia apabila layak ke tiga final individu dan meraih pingat dalam acara berganti-ganti.
Ia merupakan satu persembahan cemerlang yang mencuri tumpuan dalam kejohanan tersebut selain menyaksikan rekod dunia dan persaingan sengit.
Kejohanan renang selama lapan hari itu berakhir pada Ahad di Singapura dengan tiga rekod dunia dan 15 rekod kejohanan berjaya dipecahkan.
Pertandingan itu menyaksikan penguasaan berterusan Amerika Syarikat dan Australia serta kemunculan bintang muda antarabangsa.
Yu mencipta sejarah sebagai perenang termuda pernah memenangi pingat kejohanan dunia apabila meraih gangsa dalam acara 4×200 meter gaya bebas wanita selepas beraksi di peringkat saringan.
Walaupun tidak beraksi di pusingan akhir, sumbangan beliau memastikan pasukannya di kedudukan podium.
Keputusan individunya juga cukup membanggakan. Yu menduduki tempat keempat dalam acara 200m kuak kupu-kupu, 200m rampaian individu dan 400m rampaian individu dan hampir meraih pingat dalam ketiga-tiga acara itu.
Bersaing dengan perenang yang lebih dua kali ganda usianya, Yu telah memukau dunia renang.
Beliau berkata bertanding menentang perenang elit yang sebelum ini hanya ditonton di televisyen memberikannya pengalaman yang sangat berharga.
“Saya belajar banyak perkara. Sebagai contoh, saya mahu pelajari teknik pusingan Summer McIntosh – saya amat mengagumi tekniknya. Dia menjadi inspirasi saya dan saya berharap dapat menjadi sehebat dirinya suatu hari nanti.”
Perenang ternama seperti David Popovici dari Romania dan bintang Amerika Syarikat Gretchen Walsh turut memuji prestasi Yu, menyifatkan persembahannya sebagai gambaran masa depan sukan itu.
Kemunculan Yu menjadi sorotan utama skuad muda China yang menamatkan kejohanan di tempat ketiga dalam carta pungutan pingat dengan dua emas, enam perak dan enam gangsa di belakang Amerika Syarikat dan Australia.
Sementara itu, ketua jurulatih China, Cui Dengrong berkata, ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama bagi kitaran Olimpik baharu.
“Fokus kami adalah kepada pembangunan atlet dan jurulatih muda serta menilai kedudukan kami di pentas dunia,” katanya.
Amerika Syarikat sekali lagi mengungguli kutipan pingat dengan sembilan emas, 11 perak dan sembilan gangsa, diikuti Australia dengan lapan emas, enam perak dan enam gangsa.
Sebanyak 15 negara dan wilayah meraih emas dalam 42 acara yang dipertandingkan, dengan Kanada dan Perancis masing-masing membawa pulang empat gelaran. – Bernama