harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seorang kanak-kanak lelaki parah di kepala selepas diserang seekor anjing dalam kejadian dipercayai sekitar Taman Megah, Cheras, di sini.
Detik-detik cemas itu sempat sempat dirakam dari jauh oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di media sosial.
Video tular berdurasi 11 saat berkenaan memaparkan kanak-kanak malang berkenaan bergelut dengan haiwan berkenaan selamat beberapa saat sebelum berjaya melarikan diri.
Seorang penunggang motosikal dilihat cuba menyelamatkan kanak-kanak itu dengan menghalau anjing berkenaan.
Turut tular gambar mangsa yang berlumuran darah dan jelas kelihatan beberapa kesan kulit terkoyak di bahagian kepala mangsa.
Video berkenaan dikesan tular di Facebook hari ini dengan rata-rata warganet meminta tindakan segera diambil oleh pihak yang berkenaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung insiden itu setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan membuat semakan lanjut berhubung kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd