TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan mati dalam kolam air buangan berhampiran kediaman keluarganya di Simpang Empat, Permatang Pelandok di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, laporan berkaitan kematian kanak-kanak berusia tiga tahun itu diterima pihaknya pada pukul 9.24 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada hari sama sekitar pukul 7 petang selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kolam berkenaan.
“Mangsa kemudiannya segera dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kok Lian, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kolam dengan anggaran kedalaman kira-kira 1.2 meter itu tidak dilengkapi sebarang ciri keselamatan seperti penghadang dan penutup.
Katanya, ketika kejadian berlaku, ahli keluarga mangsa dikatakan sedang mengemas rumah selepas berlangsungnya satu majlis di kediaman tersebut sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak itu.
“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kes tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kertas siasatan kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – UTUSAN





