September 8, 2024

Budak perempuan hilang: Polis tahan dua lelaki, satu wanita

Budak perempuan hilang: Polis tahan dua lelaki, satu wanita


JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan yang berusia 28 hingga 55 tahun ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, dekat sini jam 1.30 petang semalam.

“Setakat ini kanak-kanak perempuan tersebut masih belum ditemui. Ketiga-tiganya akan direman esok pagi.

“Siasatan dijalankan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

“Jika sabit kesalahan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Tambahnya, sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.

Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian terbabit.

Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

Sejak Jumaat lalu, pusat beli-belah itu mengadakan festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan berkenaan sesak dengan kehadiran pengunjung.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang awam mengesan kanak-kanak itu di Bangunan Sultan Ismail (BSI) bersama-sama seorang lelaki yang didakwa sedang dalam perjalanan ke Singapura. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top