Pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak di sekolah susulan peningkatan kes jenayah yang semakin membimbangkan.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, Rozita atau Che Ta, 52, berkata dia kini mempertimbangkan untuk memberi pendidikan di rumah (home schooling) kepada anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, yang berusia 11 tahun.
“Aaisyah lepas ini tak payah pergi sekolah. Budak sekolah sekarang ini tak tahu makan apa, perangai pelik macam monyet, beruk, ungka semua ada.
“Baik panggil cikgu datang rumah, tapi cikgu perempuan. Sekarang bila ada anak perempuan, memang risau sangat. Takut Ya Allah, macam-macam hal,” katanya.
Dalam video tersebut, Aaisyah dilihat hanya tersenyum mendengar luahan ibunya, namun Che Ta segera menegur sambil menekankan betapa seriusnya isu berkenaan.
“Aaisyah, jangan senyum-senyum. Hal ini serius,” katanya dengan nada tegas.
@rozitachewan1 Kami yg anak soqang ni pun seqeyau laaaaa ya Allah ! Mcm2 hal ! Sekolah pun dh jadi tempat yg tak selamat utk anak2 kita 🥲 . #aaisyahdhiarana #cheta
Luahan pelakon Kiah Pekasam itu mencuri perhatian ramai, terutama golongan ibu bapa yang senada dengan rasa risau disuarakannya.
Ramai bersetuju langkah mendidik anak di rumah mungkin menjadi pilihan terbaik dalam situasi semasa.
Difahamkan, kebimbangan Che Ta timbul selepas beberapa kejadian tragis melibatkan pelajar sekolah tular baru-baru ini antaranya kes rogol empat pelajar tingkatan lima di Melaka dan kes pelajar perempuan di Petaling Jaya yang maut akibat ditikam rakan sekolah sendiri.