Pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan insiden menimpa penyanyi, Amad Dayyan, ketika siaran langsung Grand Finale sebuah program hiburan malam tadi.
Hatta berkata dia ada bersama Amad sepanjang persiapan dan menegaskan anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berada dalam keadaan baik sebelum persembahan bermula.
“Sangat sedih dengan apa yang berlaku dekat Amad. I was there all the time with him. Dia okay sahaja sampai betul-betul sebelum naik pentas.
“Untuk seorang budak, apa yang Amad kena tu sangat teruk. Sepanjang pengalaman saya terlibat dengan program nyanyian siaran langsung, saya tak pernah tengok perkara macam ni berlaku,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Tambah Hatta, Amad berada dalam keadaan sihat dan ceria sebelum insiden, sekali gus menolak dakwaan kononnya penyanyi itu berdepan masalah kesihatan.
“Dia sangat sihat, mood pun baik. ‘Evil heart’ yang budak tu terpaksa tanggung akibatnya di pentas langsung. Budak tu merana,” luahnya lagi.
Terdahulu, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang juga ibu saudara kepada Amad, tampil menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku, selain meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya, Siti turut memuat naik rakaman sesi latihan Amad dan Nadeera malam sebelum pertandingan, yang memperlihatkan kedua-duanya berada dalam keadaan sihat, ceria dan bersemangat menjelang pentas akhir.
Artikel Berkaitan: “Sebagai Ahli Keluarga, Kami Tahu Apa Yang Berlaku” – Amad Sihat Semasa Latihan, Siti Nurhaliza Mohon Jangan Timbulkan Persepsi Lain