PEMAIN tempatan perlu untuk menyesuaikan diri dengan arus bola sepak moden yang memerlukan lebih sekadar bakat.
Bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya berkata, perkara itu sangat penting terutama dalam usaha bersaing dengan pemain -pemain lain seperti pemain import dan warisan.
Menurutnya, persaingan sihat yang berlaku itu dalam merebut tempat di dalam kesebelasan utama sebagai satu perkembangan positif buat bola sepak tanah air.
“Ini ‘trend’ bola sepak sekarang. Kalau ingin terus bersaing, pemain perlu ada jati diri yang tinggi, sikap dan karakter yang bagus, pemikiran yang positif, dan yang paling penting perlu berusaha serta melakukan latihan yang konsisten dan lebih keras.
“Kalau ini berlaku, bukan sahaja perkembangan individu akan meningkat, malah pasukan dan negara juga akan menerima manfaatnya dan mendapat kesan positif serta merta,” ujar yang pernah membimbing Kelantan Darul Naim FC sebelum ini.
Beliau berkata, pertambahan kuota pemain import dalam sebuah kelab untuk Liga Super 2025/26 dan juga penambahan lima pemain warisan yang menyertai skuad Harimau Malaya baru-baru ini bakal mencetuskan lebih cabaran buat pemain tempatan.
Rezal Zambery percaya situasi itu harus dijadikan pencetus semangat buat pemain tempatan untuk memperbaiki diri, dan bukan alasan untuk berasa tersisih.
“Budaya persaingan sihat harus dipupuk sejak peringkat awal lagi agar pemain sentiasa bersedia apabila diberi peluang.
“Jadi, pemain tempatan perlu bangun dan sedar bahawa semua perlu bersaing untuk mendapatkan yang terbaik buat diri mereka,” katanya.
Dengan musim yang semakin mencabar dan bakat baharu semakin menyerlah, Rezal Zambery optimis bola sepak Malaysia berada pada fasa yang cukup menarik, dan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan momentum yang ada.